Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kongres Pertubuhan Cina bukan serangan terhadap kaum lain - Jiao Zong

Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) menafikan Kongres Pertubuhan Cina yang bakal berlangsung merupakan serangan terhadap kaum lain atau melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen dilaporkan berkata kongres itu bertujuan untuk membantah pelaksanaan pelajaran pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

"(Kongres) ini akan berlangsung sebagaimana yang dirancang. Kongres ini tidak akan menyerang kaum-kaum lain atau melanggar Perlembagaan Persekutuan.

"Kongres ini untuk menolak pelajaran Jawi diperkenalkan di sekolah-sekolah vernakular; ia berkaitan pendidikan dan sukatan pelajaran sekolah rendah Cina tetapi bukan mengenai kaum," katanya seperti dipetik Oriental Daily hari ini.

Beliau dilaporkan dihubungi untuk mendapatkan penjelasan berhubung amaran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kongres di Kajang pada 28 Disember ini boleh menimbulkan kekacauan.

"Jika anda mula membuat serangan terhadap kaum lain atau melanggar perlembagaan, keputusan akhir akan menjadi kekacauan dan ketidakstabilan.

"Semua orang akan menjadi miskin, kita akan melihat rakyat Malaysia berpindah ke negara lain," katanya.

Bagaimanapun, Ong berkata beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir yang disifatkannya tidak adil

"Malah, apa yang benar-benar melanggar perlembagaan dan bersifat perkauman adalah tuntutan yang terlalu banyak menggesa untuk menutup sekolah-sekolah vernakular pada masa lalu," katanya.

Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai King pula dipetik Oriental Daily mengesahkan bahawa kongres itu akan diteruskan disebalik amaran perdana menteri.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan enggan memberi ulasan apabila ditanya sekiranya beliau bimbang kemungkinan tindak balas orang Melayu terhadap majlis tersebut.

Pelajaran Jawi akan dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia murid darjah empat untuk sekolah vernakular bermula tahun depan, tertakluk kepada persetujuan oleh ibu bapa pelajar.

Menurut garis panduan Kementerian Pendidikan yang dikeluarkan pada 5 Disember, persatuan ibu bapa-guru (PIBG) sekolah akan mengedarkan kaji selidik kepada ibu bapa yang bertanya jika pelajaran Jawi patut diajar.

Jika sekurang-kurangnya majoriti mudah ibu bapa pelajar sekolah memilih bersetuju, maka tiga halaman pelejaran itu akan diajar.

Dong Zong dan Jiao Zong juga melahirkan kebimbangan bahawa garis panduan untuk melaksanakan pengajaran tulisan Jawi akan meminggirkan kuasa membuat keputusan di sekolah mereka sendiri, tetapi Timbalan Menteri Pelajaran Teo Nie Ching menafikan hal ini.

[Baca berita asal]