Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

K'jaan Nepal dihalang kutip cukai didakwa tertunggak ke atas Axiata

Pusat Antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan mengeluarkan perintah langkah sementara kepada Axiata Investments (UK) Ltd (Axiata UK) dan Ncell Pte Ltd yang menghalang kerajaan Nepal dan agensinya mengutip cukai keuntungan modal (CGT) yang didakwa tertunggak sebanyak 22.45 bilion rupee (RM813.48 juta).

Pejabat Pembayar Cukai Besar (LTO) Nepal cuba mendapatkan CGT, termasuk faedah dan penalti, berkaitan penjualan 100 peratus kepentingan ekuiti TeliaSonera Norway Nepal Holdings AS dalam Reynolds Holdings Ltd kepada Axiata UK pada 2016.

Dalam kenyataan hari ini, Axiata Group Bhd berkata perintah langkah sementara itu turut menghalang kerajaan Nepal daripada mengambil sebarang langkah yang akan mengubah status quo antara Axiata UK, Ncell dan Nepal atau menjadikan pertikaian semasa itu lebih serius.

Axiata berkata anak syarikatnya di UK dan unit mudah alih di Nepal akan mempertikaikan, antara lain, tindakan mengenakan CGT berkaitan urus niaga itu yang melanggar obligasi undang-undang antarabangsa Nepal di bawah perjanjian pelaburan dua hala (BIT) yang ditandatangani pada 1993 antara Nepal, UK dan kerajaan Ireland Utara untuk promosi dan perlindungan pelaburan.

“Axiata UK dan Ncell akan mendapatkan remedi, termasuk menyerahkan jumlah wang yang telah dibayar, injunksi kekal terhadap percubaan untuk mengutip CGT daripada Ncell berkaitan urus niaga itu dan ganti rugi untuk semua kerugian yang dialami akibat tindakan yang menyalahi undang-undang Nepal,” katanya.

Axiata berkata ia dan Ncell telah memberikan sumbangan yang penting kepada pembangunan sosio-ekonomi Nepal.

Sebagai pembayar cukai terbesar negara itu, Ncell telah menyumbang sebanyak 210.68 bilion rupee (RM7.63 bilion) dari segi cukai sehingga tahun fiskal 2018/2019 sejak penubuhannya.

“Kedua-dua syarikat tetap komited sepenuhnya untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan mereka di Nepal dan akan mengambil semua tindakan yang ada untuk mengelak sebarang gangguan kepada perkhidmatan dan operasi susulan pertikaian itu,” menurut Axiata.

- Bernama