Malaysia perlu elak pasaran domestik jadi lambakan produk tak berkualiti
Malaysia perlu menguasai kemahiran teknikal peringkat tinggi dalam sistem standard pengukuran bagi mengelak pasaran domestik menjadi tempat lambakan produk tidak berkualiti, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Darell Leiking.
Beliau berkata keadaan itu boleh menjejaskan pembangunan perindustrian negara serta membawa kesan negatif kepada keselamatan dan kesejahteraan pengguna.
Katanya keperluan kepada pengukuran yang tepat merupakan subjek yang amat penting peringkat global yang telah dipersetujui semua pihak, khususnya dalam menyokong keputusan dalam bidang sains, perdagangan, kesihatan, keselamatan, pemantauan alam sekitar dan inovasi.
"Di negara-negara maju, pengukuran yang tepat telah diberikan perhatian yang serius disebabkan peranannya dalam penciptaan kekayaan dan peningkatan kualiti hidup dan Malaysia tidak seharusnya terkecuali.
"Malaysia perlu bergerak seiring dengan negara maju lain dalam memiliki dan menguasai kemahiran teknikal untuk bersaing dalam keupayaan pengukuran, satu aspek yang akan membantu dalam penyediaan perkhidmatan serta menjamin prinsip keadilan dalam setiap transaksi di pasaran," katanya pada majlis pelancaran unit sistem pengukuran baru untuk menentukur alat pengukuran panjang berskala besar oleh Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) di Sepang, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) MITI, Hairil Yahri Yaacob. Turut hadir pada majlis itu Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.
Darell berkata atas kepentingan metrologi dalam konteks ekonomi sesebuah negara, NMIM selaku peneraju tunggal yang dipertanggungjawab dalam peranan tersebut perlu berubah dan bergerak secara dinamik bersesuaian dengan perkembangan teknologi dan kehendak persekitaran.
Beliau berkata NMIM perlu memastikan infrastruktur metrologi negara memenuhi standard antarabangsa dan mematuhi pengukuran global kerana penggunaan bentuk pengukuran yang seragam boleh membantu mengurangkan kos kepada pengeluar sekaligus akan menguntungkan pengguna.
Pengiktirafan global terhadap standard pengukuran dan tentukuran negara membantu memudahkan pengeksportan produk Malaysia ke pasaran global dan menarik pelabur untuk melabur di negara ini, katanya.
Sementara itu, Ahmad Fadzil berkata NMIM secara berterusan berusaha menyediakan perkhidmatan pengukuran dan tentukuran kepada pihak berkepentingan dengan fasiliti luar negara hanya disyorkan bagi permintaan bidang pengukuran dan tentukuran yang tiada dalam negara.
Beliau berkata pihak berkepentingan perlu mempunyai akses mudah kepada sistem pengukuran global dan sijil tentukuran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi menjamin produk dan perkhidmatan tempatan adalah inovatif serta kompetitif di pasaran luar negara.
Sejak 2006 hingga kini, NMIM telah membangun dan menubuhkan 350 standard fizikal dan bangunan kimia untuk menyokong pengukuran dalam beberapa bidang seperti perdagangan, perubatan, pendidikan, industri, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan aktiviti pemetaan dan pengangkutan serta kastam dan percukaian, katanya.
Mengenai unit pengukuran baharu yang diperkenalkan, Ahmad Fadzil berkata unit sistem 25 meter standard fizikal panjang itu mampu menentukur alat pengukuran panjang berskala besar sehingga 100 meter panjang.
Beliau berkata kemudahan unit tentukur yang memenuhi keperluan Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007 (Akta 675) dan Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71) itu berupaya meminimumkan ralat pengukuran sebanyak 0.002 peratus dari ukuran panjang perbandingan yang menggunakan 1 meter standard fizikal panjang sedia ada.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai