Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MB ikut rapat perkembangan banjir meski di luar negara

Walaupun mengikuti lawatan kerja rasmi ke Mesir, Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal sentiasa mengikut rapat perkembangan banjir di negeri itu dari semasa ke semasa, kata Pejabat Menteri Besar Johor.

Pejabat Menteri Besar Johor dalam kenyataan hari ini juga berkata lawatan kerja tersebut sudah dijadualkan lebih awal sebelum bencana banjir berlaku.

Tambah kenyataan itu, Sahruddin sebelum ini telah melawat beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa daerah yang dilanda banjir

"Beliau juga telah melakukan tinjauan udara bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Yahaya Madis.

"Pihak sekretariat jawatankuasa pengurusan bencana sama ada di peringkat negeri mahu pun daerah juga menyelaras segala keperluan dan memastikan semua berada dalam keadaan siap siaga serta sentiasa memberikan maklumat terkini secara terus kepada menteri besar Johor.

"Sahruddin sentiasa mengikuti rapat situasi banjir di negeri Johor pada ketika ini, malah memantau perkembangan dari masa ke masa," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu hadir selepas naib presiden Umno yang juga bekas menteri besar Johor, Mohamed Khaled Nordin mempersoalkan kewajaran lawatan kerja dilakukan Sahruddin ketika bencana banjir di negeri itu belum pulih.

Sementara itu, kenyataan daripada pejabat Sahruddin itu juga menyorot bahawa bencana banjir di Johor juga sudah menunjukkan penurunan.

Sehingga jam 8 pagi hari ini, sejumlah 2,669 mangsa direkodkan berbanding 9,151 mangsa yang dicatatkan pada 16 Disember lalu.

Dalam perkembangan itu, Sahruddin bersama delegasi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kini dalam lawatan kerja rasmi ke Mesir dan Jordan.

"Lawatan kerja ini adalah satu daripada komitmen kerajaan negeri Johor untuk memperkasa pendidikan Islam Johor melalui kerjasama yang terjalin antara Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), Universiti Al-Azhar dan universiti universiti di Jordan.

"Antara pengisian lawatan ini adalah pertemuan bersama rektor Universiti Al-Azhar bagi membincang dan menambah baik jalinan kerjasama pendidikan dalam rangka menyediakan laluan lanjutan pengajian bagi pelajar-pelajar lepasan Marsah ke universiti berkenaan.

"Untuk makluman, kerjasama antara Marsah iaitu institusi pendidikan yang bernaung di bawah MAINJ dan Universiti Al-Azhar telah terjalin sejak tahun 1997," jelas kenyataan itu.

Selain itu, kemuncak kepada lawatan kerja kerajaan negeri Johor ke Timur Tengah adalah majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan universiti-universiti di Jordan.