Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis tegaskan tiada unsur khianat dalam kematian Nora Anne

Polis Malaysia telah memaklumkan kepada rakan sejawatan di Perancis berhubung keputusan bedah siasat kematian remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed seperti yang dilaporkan The Sun.

Pihak berkuasa sebelum ini telah menghantar surat rasmi kepada Kedutaan Perancis di Singapura yang mengatakan bahawa tiada unsur perbuatan khianat yang ditemukan dalam siasatan kematian remaja tersebut.

Sementara itu memetik laporan Bernama, Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop sebagai berkata, “bedah siasat lengkap” bersama kajian kes daripada Jabatan Kimia dijangka siap “tidak lama lagi”.

Kes tersebut kekal sebagai kes orang hilang dan kes kematian mendadak.

Ibu bapa Quorin - Meabh dan Sebastien - sebelum ini menegaskan bahawa terdapat "unsur jenayah" dalam kehilangan dan kematian anak istimewa mereka yang berusia 15 tahun itu.

"Bagi kami sesuatu yang sangat kompleks berlaku. Kami telah menegaskan dari awal bahawa kami percaya terdapat unsur jenayah terhadap apa yang berlaku.

"Dan kami sedang berusaha keras kerana sukar untuk mendapatkan sumber yang cukup bagi menyiasat dari sudut jenayah [...]

“Walaupun bedah siasat yang dijalankan dapat memberi jawapan dan malah telah memberi beberapa jawapan asas berkenaan apa yang menyebabkan kematian Nora, ia tidak menjelaskan kemungkinan bagaimana dia telah sampai ke tempat yang ditemui,” kata Meabh dalam temu bual dengan media Ireland RTE News.

Quoirin yang bercuti dengan keluarganya di Seremban pada Ogos lalu dilaporkan hilang sehari selepas tiba.

Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran diadakan dan selepas hari kesepuluh mayatnya ditemui di kawasan 2.5 km dari resort berkenaan. Isu ini turut mendapat perhatian media antarabangsa.

Pada masa itu, polis berkata Quoirin meninggal akibat kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres. Polis juga tidak menemui tanda-tanda penculikan atau rogol.

Ibu bapa Quorin telah meminta untuk bedah siasat kedua.