Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Badan Peguam pula mahu SD Azilah disiasat

Badan Peguam Malaysia hari ini turut menggesa agar polis menjalankan siasatan baru ke atas Azilah Hadri yang membuat perakuan bersumpah (SD) mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu lebih 13 tahun lalu.

Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor, berkata pendedahan bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia itu bukan saja amat mengejutkan jika dilihat kepada individu yang dikaitkan, malah turut memberi kesan persepsi awam kepada sistem perundangan negara.

"Keseluruhan kes itu setakat ini diselubungi misteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Fareed lagi tiada had masa ditetapkan bagi sesuatu siasatan kes jenayah.

Justeru, katanya, dalam kes berkenaan, kebenaran perlu dikemukakan dan mana-mana cubaan menutup atau menyembunyikan fakta serta bukti tidak boleh dibenarkan.

"Seluruh usaha mesti dibuat untuk melakukan siasatan menyeluruh terhadap segala fakta dan keadaan berkaitan jenayah, sama halnya dengan semua bukti perlu dikemukakan dan diuji di mahkamah.

"Tiada ruang boleh dibenarkan bagi sebarang tanda tanya atau keraguan, kerana piawaian sesuatu bukti yang diperlukan oleh pihak pendakwa adalah mereka membuktikan kes mereka di melebihi keraguan munasabah," katanya.

Alasan tolak hukuman mati

Azilah adalah seorang daripada dua tertuduh dalam kes pembunuhan wanita Mongolia pada 18 Okt 2006 lalu. Dia dibunuh dan mayatnya diletupkan di kawasan hutan di pinggir Shah Alam.

Selain Azilah, turut disabitkan atas kesalahan itu ialah Sirul Azhar Umar. Ketika kejadian kedua-dua mereka adalah anggota polis dengan masing-masing berpangkat cif inspektor dan koperal.

Sirul kini berada dalam tahanan pihak berkuasa imigresen Australia.

Pada 16 Dis lalu Malaysiakini melaporkan mengenai SD Azilah yang mendakwa dia membunuh Altantuya atas arahan timbalan perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

SD Azilah turut menamakan seorang tokoh yang dekat dengan Najib, Abdul Razak Baginda, sebagai orang yang terlibat dalam kes tersebut.


Baca Ini semata-mata rekaan, kata Najib


Untuk rekod Abdul Razak turut dibicarakan di mahkamah tetapi dibebaskan oleh hakim.

Menurut Abdul Fareed, hakikat bahawa masih ada ruang untuk keraguan pada peringkat prosiding semasa yang melibatkan Azilah - dan mungkin kebanyakan kes jenayah lain - adalah sebab mengapa Badan Peguam Malaysia menentang hukuman mati.

"Apabila sistem itu terdedah kepada kelemahan, sama sekali tidak boleh dibiarkan sesuatu kesilapan kecil yang harus dibayar dengan nyawa manusia.

"Badan Peguam Malaysia menyeru semua pihak berkuasa berkaitan untuk melakukan apa yang diperlukan bagi menangani pendedahan ini," katanya.

[Baca berita penuh]