Tiada plakad, sepanduk di himpunan pertubuhan Cina bantah Jawi
Kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong, menyeru sesiapa yang mahu menyertai himpunan pertubuhan membantah tulisan Jawi di sekolah vernakular agar tidak membawa sebarang plakad, sepanduk atau risalah.
Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Dong Jiao Zong berkata, tujuan himpunan tersebut dibuat untuk mempertahankan "kedaulatan" lembaga pengelola sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, serta isu berkaitan pengenalan tulisan Jawi.
“Himpunan pertubuhan-pertubuhan Cina ini adalah untuk menggembleng tenaga dalam menjaga kedaulatan lembaga pengelola SJK Cina dan Tamil.
“Ia juga mahu menggesa kerajaan supaya mendengar pandangan rakyat dan seterusnya membatalkan cadangan memperkenalkan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di SJK,” katanya dalam satu kenyataan media berbahasa Cina hari ini.
Menurut pertubuhan berkenaan, oleh kerana kesuntukan masa, mereka membuat seruan melalui media agar semua pertubuhan Cina yang berdaftar menghadiri himpunan tersebut.
“Ini untuk menunjukkan keazaman masyarakat Cina dalam isu tulisan Jawi serta menyampaikan suara dan tekad supaya mendapat perhatian daripada kerajaan sekali gus menyelesaikan masalah yang timbul.
“Pada masa sama, himpunan tersebut akan mempelawa wakil badan pendidikan Tamil.
"Untuk melicinkan proses himpunan tersebut, tiada plakad, sepanduk ataupun sebarang bahan propaganda dibenarkan," katanya.
Protes sekeras-kerasnya
Sebelum itu, Dong Jiao Zong membidas Kementerian Pendidikan mengedarkan borang maklum balas kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) bagi mendapatkan pandangan mereka sama ada bersetuju atau tidak melaksanakan pengenalan tulisan Jawi di tahun empat SJK Cina dan Tamil.
Jika lebih 51 peratus ibu bapa bersetuju, maka pembelajaran pengenalan tulisan Jawi - sebanyak hanya tiga muka surat - akan diperkenalkan. Sebaliknya cadangan itu akan dibatalkan jika lebih daripada 51 peratus ibu bapa membantah.
Dalam mesyuarat bersama Dong Zong dan Jiao Zong pada 12 Dis lalu, kumpulan pendidikan Cina memperkenalkan pendirian tiga “tidak”, iaitu tidak menerima, tidak bersetuju dan tidak melaksanakan panduan perlaksanaan tulisan Jawi.
“Mesyuarat tersebut juga menyeru lembaga pengelola, PIBG dan Dong Zong negeri-negeri melaksanakan dua perkara.
“Ia melibatkan pengembalian panduan tersebut kepada Kementerian Pendidikan sebagai tanda protes serta kongres khas lembaga pengelola dan PIBG untuk memprotes pengenalan tulisan Jawi sekeras-kerasnya dan mengumpul tandatangan lembaga pengelola serta PIBG," katanya.
Kenyataan tersebut juga mengatakan himpunan pertubuhan Cina adalah untuk menunjukkan keazaman Dong Jiao Zong membantah kuasa pengurusan lembaga pengelola SJK Cina.
Mana-mana pertubuhan Cina yang berhasrat untuk menyertai himpunan tersebut boleh mendaftarkan di www.dongzong.my, emel [email protected] ataupun menghubungi 03-87362337.
Himpunan tersebut akan diadakan pada 28 ini di Kolej New Era, Kajang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai