DBKL arah iklan aplikasi 'sugar daddy' ditarik balik serta-merta
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan paparan iklan aplikasi 'dating' atas talian, SugarBook, ditarik balik dengan segera.
DBKL berkata, iklan LED aplikasi itu di papan iklan di Bangsar dan Mont Kiara tidak pernah mendapat kelulusan pihaknya mahupun Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
"Hasil siasatan DBKL mendapati pelesen struktur iklan merupakan milik YWP yang melantik Tetuan Out Of Home sebagai operator.
"Kandungan iklan SugarBook yang dipaparkan pada struktur iklan LED tidak mendapat kelulusan dari DBKL dan YWP. Pihak operator LED itu telah dimaklumkan berkenaan kandungan iklan yang sensitif dengan norma masyarakat Malaysia dan perlu serta-merta mengeluarkan iklan itu dari paparan LED.
"DBKL telah mengeluarkan arahan kepada YWP dan Out Of Home untuk menarik balik segera paparan iklan tersebut di kedua-dua lokasi," kata DBKL dalam kenyataan hari ini.
Menurut The Malaysian Insight, Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil beliau telah menghubungi DBKL selepas melihat iklan tersebut di Bangsar dan berkata iklan di kedua-dua lokasi telah ditarik balik semalam.
“Antara jam 7.30 hingga 10 malam, saya difahamkan iklan itu diturunkan,” katanya seperti dipetik.
Sugarbook ialah aplikasi 'dating' atas talian yang diasaskan di Malaysia yang dikatakan menghubungi "sugar daddy" atau "sugar mommy" denga "sugar baby" di seluruh Asia.
"Sugar daddy" atau "sugar mommy" biasanya merupakan lelaki atau perempuan yang berusia yang sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda - "sugar baby" - sebagai pertukaran kepada perhubungan.
Menurut laman Facebook Sugarbook, iklan tersebut - yang pertama kali dibuat - mula dipaparkan pada 3 Disember.
CEO: Kami hanya sediakan pilihan
Sementara itu, pengasas dan CEO Sugarbook Darren Chan berkata gesaan agar syarikatnya diharamkan adalah tidak adil.
Walaupun dia tidak merujuk kepada iklan itu secara langsung, Chan berkata syarikatnya dibina "untuk memberdaya wanita dengan menyediakan platform dating untuk mereka memilih secara bebas apa yang dimahukan dalam hubungan yang ideal, tanpa dinilai".
"Kata kunci di sini ialah 'pilihan' dan Sugarbook adalah tentang memberikan pilihan itu.
"Sugar baby bukan pekerja seks yang menyalahi undang-undang. Mereka tidak menuarkan tubuh mereka dengan wang. Mereka datang dari pelbagai latar belakang, seperti ibu tunggal yang susah, suri rumah, balu dan janda.
"Sementara kami yakin orang awam berniat baik, tidak adil untuk mengharamkan kami. Kami risau desakan ini akan menjejaskan kebebasan dan pilihan rakyat Malaysia," katanya.
Dalam respons kepada Malaysiakini, Chan berkata iklan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk aplikasi itu telah mendapat kelulusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Bagaimanapun ketika ditanya berkenaan kenyataan DBKL bahawa kandungan iklan itu tidak mendapat kelulusannya atau YWP, dia berkata syarikatnya hanya mengikut nasihat syarikat penerbitan iklannya.
"Kami syarikat start up kecil dengan tumpuan kepada teknologi dan aplikasi. Nasih yang diberi kepada kami ialah iklan kami telah diluluskan jadi kami pun meneruskannya. Kami dimaklumkan bahawa kelulusan ini...hanya satu-satunya kelulusan yang diperlukan. Jelas kami telah mendapat nasihat yang salah," katanya ketika dihubungi.
Dia juga mengesahkan iklan SugarBook telah diturunkan.
Malaysiakini sedang menghubungi Out Of Home untuk mendapatkan respons mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai