Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tak betul lima KSU akan ditukar, kata KSN

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Ismail Bakar menafikan dakwaan akan berlaku rombakan membabitkan pegawai kanan kerajaan yang dijangka menjelang akhir tahun ini.

Beliau menafikan laporan sebuah portal bahawa langkah itu diambil bagi menangani isu "daulah terpendam" yang didakwa berlaku dalam perkhidmatan awam.

"Tak betul," kata Ismail kepada pemberita ketika ditemui selepas Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 di Shah Alam hari ini.

Ketika ditanya berhubung laporan yang memetik sumber kerajaan yang mendakwa lima ketua setiausaha di lima kementerian akan dipindahkan minggu ini, Ismail sekali lagi berkata:

"Tak Betul. Anda tanya siapa yang tulis Lapor tu. Saya tak ada dengar secara rasmi. Itu semua persepsi orang," katanya.

Selama The Malaysian Insight melaporkan perubahan itu dibuat atas permintaan menteri bagi memastikan kelancaran operasi di kementerian mereka.

Ismail hari ini bagaimanapun menafikan menerima sebarang permintaan sedemikian.

"Tak ada," katanya ringkas.

Semalam The Malaysian Insight yang memetik sumber turut melaporkan 'banyak' penjawat awam yang telah mencapai usia persaraan akan ditamatkan perkhidmatan, manakala mereka yang masih mempunyai baki tempoh kontrak tidak akan disambung perkhidmatan mereka.

Sumber itu dipetik sebagai berkata bahawa Ismail sendiri, yang akan bersara pada usia 60 tahun pada 9 Jan tahun depan, tidak akan dilanjutkan perkhidmatan sebagai Ketua Setiausaha Negara.

Sebelum ini beberapa menteri PH sering menyebut mengenai kewujudan "deep state" atau daulah terpendam yang dikatakan bertujuan melemahkan pentadbiran kerajaan.

Daulah terpendam merupakan istilah yang merujuk kepada gerakan individu atau kumpulan yang beroperasi secara rahsia untuk mensabotaj kerajaan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan menyiasat dakwaan sedemikian selepas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd Sallehhuddin Hassan dipindahkan.