Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas presiden Pakistan dijatuhkan hukuman mati

GLOBAL | Mahkamah Pakistan dilaporkan menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas presiden negara itu Pervez Musharraf atas kesalahan khianat dan melanggar perlembagaan, hari ini.

Menurut Reuters hari ini, hukuman itu dijatuhkan setelah dua daripada tiga hakim mahkamah antikeganasan - mahkamah yang mengendalikan kes khianat peringkat tinggi - mendapatinya bersalah.

"Pervez Musharraf didapati bersalah mengikut Perkara 6 kerana mencabuli perlembaggan Pakistan," kata pegawai undang-undang kerajaan Salman Nadeem seperti dipetik.

"Musharraf menjadi presiden Pakistan sejak Jun 2001 hingga Ogos 2008.

Pendakwaannya berkenaan tindakan Musharraf mengiystiharkan darurat pada 2007, ketika penentangan terhadap pemerintahannya kian meningkat.

Susulan pengisytiharan itu, semua kebebasan sivil, hak asasi dan proses demokrasi digantung bermula November 2007 hingga Februari 2008. Dia meletakkan jawatan enam bulan kemudian.

Menurut Reuters, Musharraf pada masa ini tiada di Pakistan dan tidak boleh dihubungi untuk mendapatkan respons berkenaan hukuman ke atasnya.

Bulan lalu, dia mengeluarkan video yang memaparkannya di atas katil hospital di Dubai, dan berkata dia tidak mendapat perbicaraan yang adil.

"Saya berkhidmat kepada negara dan membuat keputusan untuk kebaikan negara," katanya seperti dipetik.

Pakar perundangan Pakistan bagaimanapun berkata dia masih boleh mencabar keputusan itu di Mahkamah Tinggi.