Najib: Cerita baru ini buka jalan untuk PH penjarakan saya
Bekas perdana menteri, Najib Razak menyifatkan tuduhan terbaru yang mengaitkannya dengan pembuhan Altantuya Shaariibuu sebagai usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyumbatnya ke penjara.
Kata Najib, PH yang fobia dengan gelaran kerajaan sepenggal, terpaksa mengeluarkan konspirasi dan fitnah itu bagi mendiamkannya.
"Oleh itu, mereka perlu keluarkan lagi konspirasi baru untuk menentang dan memfitnah saya.
"Saya juga diberitahu bahawa cerita baru PH ini membuka jalan kepada kerajaan PH untuk menahan dan penjarakan saya tanpa jaminan kerana kes pembunuhan tak membenarkan jaminan.
"Barulah saya boleh disenyapkan oleh PH," tulis Najib dalam satu hantaran di Facbooknya petang ini.
Terdahulu, Najib menafikan dakwaan bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis Azilah Hadri bahawa beliau mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Bercakap kepada Malaysiakini, bekas perdana menteri juga mempersoalkan mengapa maklumat itu hanya timbul lebih daripada 10 tahun selepas pembunuhan warga Mongolia itu pada tahun 2006.
Ini semata-mata rekaan, kata Najib
Najib mendakwa bahawa ini mungkin komplot oleh pentadbiran Pakatan Harapan untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kelemahan pentadbirannya.
"Ini semata-mata rekaan oleh mereka yang terdesak untuk mengelakkan diri daripada tali gantung.
"Kenapa maklumat ini tidak keluar sebelum ini, tetapi hanya sekarang selepas lebih satu dekad selepas kematiannya dan hanya selepas 19 bulan PH berkuasa?" soalnya.
"Saya percaya ini adalah perjanjian antara kerajaan PH Harapan dan Azilah, yang menjanjikan hukuman mati itu akan dimansuhkan atau ditangguhkan sebagai balasan. Ini adalah percubaan untuk mengalih perhatian dan menyerang saya," katanya.
Sementara itu Najib berkata, kes pembunuhan Altantuya telah berlaku 13 tahun dulu dan telah melalui ratusan hari perbicaraan selama bertahun-tahun da Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan sampai ke Mahkamah Persekutuan telah memutuskan hukuman mati lima tahun dahulu.
Katanya, pihak polis juga mengesahkan bahawa tiada bukti untuk kaitkannya dengan kes tersebut.
"Tiba-tiba ada cerita perisik Rusia terkeluar pula.
"Dakwa saya yang arahkan pembunuhan Altantuya kerana dia perisik Rusia.
"Ada akuan bersumpah tiba-tiba keluar dari pihak polis yang telah dijatuhkan hukuman mati. Peguam bela sekian lama dia juga terkejut dengan akuan bersumpah 'tertiba' dari anak guamnya," kata Najib lagi.
Malaysiakini dalam laporan ekslusif hari ini memetik pengakuan berkanun Azilah, yang sedang menunggu hukuman gantung mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri atau TPM) dan rakan rapatnya Abdul Razak Baginda.
Pendedahan mengejutkan dari Azilah - ‘Najib arah saya bunuh Altantuya'
Dalam pengakuan julung-julung kalinya itu, Azilah mendakwa dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan UTK.
Perincian itu dimasukkan dalam permohonan yang difailkan Azilah kepada Mahkamah Persekutuan bagi menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya.
Dia juga memohon perbicaraan semula bagi mengemukakan bukti penuh berkaitan operasi sulit itu di mahkamah terbuka supaya “keadilan dapat ditegakkan”.
Azilah mendakwa terdapat keterangan tidak dikemukakan semasa prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Dalam akuan berkanun (SD) bagi menyokong permohonannya, Azilah mendakwa Najib mengarahkannya “tangkap dan hapuskan” Altantuya, yang menurutnya, diberitahu sebagai “perisik asing” dan “berbahaya kepada keselamatan negara”.
“Saya bertanya kepada TPM apa yang dimaksudkan dengan tangkap dan hapuskan perisik asing tersebut dan TPM menjawab, ‘Shoot to kill,’ sambil menunjukkan isyarat memotong leher,” SD itu dipetik.
“Apabila ditanya berkenaan maksud musnahkan mayat perisik asing tersebut, TPM menjawab, ‘Lupuskan mayat perisik asing hilangkan kesan.’”
Teks penuh SD Azilah yang babitkan Najib dalam kes Altantuya
Azilah juga mendakwa bahawa dia melihat Najib dan Razak Baginda bertemu Altantuya di sebuah kondominium di London.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai