Protes undang-undang warganegara baru India masuk hari keempat
GLOBAL | Penunjuk perasaan di timur India membakar lebih sedozen bas dan merosakkan sekurang-kurangnya enam stesen kereta api semalam, dengan protes ganas terhadap undang-undang kewarganegaraan baru masuk hari keempat.
Kerajaan pimpinan perdana menteri Narendra Modi berkata undang-undang baru itu akan menyelamatkan golongan minoriti agama seperti Hindu dan Kristian daripada penindasan di negara jiran Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan, dengan meawarkan laluan kewarganegaraan India kepada mereka.
Tetapi pengkritik berkata undang-undang itu, yang tidak memberi peruntukan serupa kepada orang Islam, melemahkan asas sekular India.
Pewartawaan undang-undang itu mencetuskan bantahan di seluruh India, tetapi di bahagian timur negara itu, di mana gerakan terhadap imigran Bangladesh berlangsung selama berdekad, merupakan yang terburuk.
Semalam, penunjuk perasaan membakar sekurang-kurangnya 15 bas di negeri Bengal Barat, kira-kira 20km daripada ibu negeri Kolkata, menyebabkan trafik terjejas selama beberapa jam, kata dua pegawai polis.
Sekurang-kurangnya enam stesen kereta api di negeri itu dirosakkan dan dibakar, menyebabkan pembatalan banyak perjalanan jarak jauh, kata ketua pegawai perhubungan pelanggan South Eastern Railway Sanjoy Ghosh kepada Reuters, sambil menambah sukar untuk menyatakan bila perkhidmatan akan diteruskan seperti biasa.
Di negeri paling ramai penduduk, Uttar Pradesh, di utara negara itu, pelajar Aligarh Muslim University (AMU), sebuah institusi ternama yang ditubuhkan pada 1920, membantah undang-undang kewarganegaraan itu dan memobilisasi orang Islam melalui jumpatan dari rumah ke rumah untuk protes yang lebih besar hari ini.
"Dengan pelulusan RUU ini komuniti Muslim kini takut dan RUU ini, yang telah pun menjadi undang-undang, secara alaminya bersifat diskriminasi," kata Sharjeel Usmani, pelajar AMU.
"Kita akan membantahnya sehingga ia ditarik balik."
Bantahan turut diadakan di beberapa bandar dan kota lain di Uttar Pradesh, termasuk kota suci agama Hindu, Prayagraj, yang nama lamanya iaitu Allahabad ditukar oleh kerajaan negeri itu pada 2018.
Di tengah-tengah ibu negara India, New Delhi, ratusan pelajar berkumpul dalam kawasan dan juga di luar Jamia Milia University, menyampaikan ucapan dan mengadakan bantahan aman terhadap undang-undang itu, di tengah-tengah polis yang berkawal.
Pada Jumaat lalu polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan cota untuk menyuraikan sejumlah pelajar yang berdemonstrasi di Jamia.
Semalam pihak universiti mengisytiharkan cuti musim sejuk selama 20 hari bermula 16 Disember, menurut notis rasmi yang dilihat Reuters.
Cuti tahunan di Jamia biasanya bermula sekitar 24 Disember tetapi keputusan untuk cuti lebih awal diambil susulan bantahan pelajar, kata seorang pegawai Jamia yang enggan dinamakan.
-Reuters
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai