Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Selamatkan Malaysia, wajibkan vaksinasi

ULASAN | Di saat ini, seorang bayi berumur tiga bulan telah disahkan menghidap penyakit polio di Unit Rawatan Rapi Hospital Tuaran di Sabah. Ini adalah kes asal pertama di Malaysia sejak tahun 1986.

Kita tidak seharusnya membiarkan anak-anak kita berdepan risiko penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin. Oleh itu, kami ingin menggesa kerajaan untuk mewajibkan pengambilan vaksin di Malaysia.

Tiada pengamal perubatan dapat menyangkal keberkesanan vaksin untuk mengelakkan kematian dan kecacatan dengan kos yang rendah. Hampir setiap pertubuhan kesihatan percaya vaksin adalah pelaburan terbaik kesihatan awan. Vaksin telah berjaya menyelamatkan jutaan nyawa dan melindungi jutaan manusia daripada penderitaan dan kesengsaraan.

Tetapi mengapa sehingga kini, kita masih lagi menghadapi kesukaran untuk menyelamatkan anak-anak permata hati kita? Dalam tahun 2019 ini, Samoa dan Tunisia telah menghadapi “outbreak” demam campak, dan Filipina dan Pakistan telah menderitai “outbreak” Polio.

Penyakit-penyakit ini menyerang kanak-kanak yang lemah, yang mana kita sebagai orang dewasa sewajarnya menjadi pelindung bagi kanak-kanak ini semua.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyenaraikan keraguan terhadap vaksin sebagai salah satu daripada sepuluh ancaman kesihatan sejagat. Gerakan kumpulan anti-vaksin kini lebih teratur, menyebabkan ganggu-gugat sistem kesihatan kita terutamanya melalui penyebaran maklumat tanpa asas dan mengelirukan orang ramai melalui media sosial.

Pertarungan ini telah tiba ke tanah air dan kami gagal melaksanakan tanggungjawab bersama. Program vaksinasi berjadual adalah percuma untuk seluruh rakyat Malaysia dan mengandungi senarai vaksin yang disyorkan sejak lahir hingga berumur 15 tahun.

Tiada satu pun vaksin ini diwajibkan untuk diambil walaupun penyakit-penyakit tersebut membawa risiko yang amat merbahaya hingga boleh mengancam nyawa.

Bagaimana meningkatkan peratusan vaksinasi?

Langkah meningkatkan keyakinan terhadap program vaksinasi perlu menekankan strategi yang mendorong kepuasan hati masyarakat, kemudahan untuk mendapatkan vaksinasi tersebut dan kepercayaan terhadap keberkesanan program tersebut.

Kerajaan boleh menjalankan program yang meningkatkan pengetahuan ramai, memudahkan akses dan perkhidmatan untuk memperolehi vaksin, menyangkal salah anggap dan maklumat palsu melalui media sosial.

Langkah-langkah ini harus selari dengan impian untuk mewajibkan program vaksinasi.

Kita sedang berhadapan krisis umpama api dalam sekam yang mampu menyebabkan malapetaka. Oleh itu, kami ingin menggesa kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin bagi semua kanak-kanak di Malaysia.

Program vaksinasi boleh didorong dengan pemberian insentif khas. Jerman, Perancis, Itali, Singapura dan Amerika Syarikat mewajibkan vaksinasi untuk kemasukan ke taska atau sekolah. Di Australia, mewajibkan ibubapa untuk memberi vaksin kepada anak-anak mereka sebelum layak menerima bantuan kebajikan.

Kita juga boleh memperkenalkan denda sepertimana di Jerman yang mengenakan denda EUR 2500 serta larangan ke taska. Cara ini boleh mengelakkan daripada ibubapa yang berkemampuan untuk menghantar anak-anak yang tidak di vaksinasi ke sekolah swasta atau persendirian.

Indonesia pula membuat bayaran terus kepada ibubapa bagi setiap anak yang menerima vaksin. Bayaran serupa diberikan di India, Nicaragua dan Zimbabwe dan terbukti berjaya meningkatkan peratusan vaksinasi kanak-kanak di negara-negara tersebut.

Pada masa yang sama, pengecualian dari vaksinasi harus diperhalusi dan dikhaskan untuk kes-kes atas alasan perubatan. Pengecualian atas alasan keagamaan dan kepercayaan tidak seharusnya dipertimbangkan sepertimana dilakukan di Australia dan California (Amerika Syarikat).

Semua langkah-langkah di atas, telah terbukti berjaya meningkatkan peratusan liputan vaksinasi dan mampu memberi perlindungan kepada populasi warga kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Kami percaya, langkah mewajibkan vaksinasi harus dijalankan serentak dengan kempen kesedaran awam melalui media massa, masyarakat sivil dan rakyat di akar umbi.

Penjelasan mewajibkan vaksinasi

Kerajaan senantiasa memperkenalkan undang-undang berteraskan kepentingan awam. Pemakaian tali pinggang keledar, topi keledar, kerusi kereta kanak-kanak, mewajibkan lesen memandu yang pada mulanya di anggap menyekat kebebasan individu, kini didapati berfaedah dan telah pun diterima oleh orang ramai. Kami percaya kerajaan wajar mewajibkan vaksinasi atas sebab berikut.

Pertama, vaksin telah terbukti berkesan dan mewajibkannya dapat meningkatkan peratusan liputan vaksinasi. Ia jelas akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Secara ringkasnya, vaksin merangsang immuniti pramatang kanak-kanak untuk mempertahankan diri daripada penyakit. Menjadi tanggungjawab moral dan etika diri setiap individu untuk melindungi setiap kanak-kanak di negara ini.

Kedua, vaksinasi wajib membolehkan kita mencapai immuniti kelompok “herd immunity” melebihi ambang 95 peratus. Sekumpulan kanak-kanak dan individu tidak boleh diberikan vaksin atas alasan permasalahan perubatan. Jika lebih ramai orang membuat keputusan tidak memberi vaksin kepada anak mereka, sasaran immuniti kelompok dan 95 peratus tidak boleh tercapai.

Ketiga, vaksin mengurangkan kos perbelanjaan. Setiap USD 1 yang dilaburkan untuk program vaksinasi mampu menjimatkan USD 16 daripada kos perbelanjaan perubatan, kehilangan pendapatan dan produktiviti. 

Kita juga tidak boleh memberi nilai wang ringgit kepada nyawa dan kesengsaraan yang dialami. Ia merupakan pelaburan fiskal bijak lebih- lebih lagi ketika negara dibebani oleh peningkatan hutang kerajaan, belanjawan kesihatan tahunan yang tidak setimpal dan kos perbelanjaan yang kian meningkat.

Keempat, mewajibkan vaksinasi disokong oleh falsafah politik dan lunas undang-undang. Prinsip membahayakan “harm principle” jelas ditunjukkan dengan tidak memberi vaksin kepada kanak-kanak.

Menjadi kewajipan ibubapa untuk melindungi anak-anak mereka dan tanggungjawab kerajaan untuk campur tangan jika mereka gagal. Meneliti prinsip keadilan dan kebebasan, kebebasan boleh disekat (dengan mewajibkan vaksinasi) untuk menegakkan keadilan (bagi semua rakyat yang berhak menikmati kehidupan bebas penyakit).

Berteraskan lunas undang-undang, mahkamah tertinggi Perancis dan Amerika Syarikat mengesahkan hak kerajaan untuk mewajibkan vaksinasi.

Akhirnya, setiap agama dan kepercayaan menyokong vaksinasi untuk kepentingan sejagat. Walaupun kami bukan cendekiawan agama, kami percaya agama dan sains bersetuju dan sependapat dalam meningkatkan kualiti kehidupan manusia.

Deklarasi Dakar 2014 telah melihat penyatuan cendekiawan Muslim menyokong pemberian vaksinasi. Di Malaysia, terdapat alim ulama yang berpendapat bahawa pemberian vaksin yang mengandungi kandungan tidak halal dibolehkan jika perlu dan sebagai pilihan terakhir.

Langkah mewajibkan vaksinasi menunjukkan kerajaan mengambil kisah ancaman golongan anti-vaksin. Ini akan menghantar isyarat ketidakpuasanhati terhadap isu kesihatan awam dan vaksinasi. Perdebatan membina di kalangan rakyat akan tanggungjawab dan kebebasan akan memberi lebih kesedaran mengenai kepentingan pencegahan penyakit melalui vaksinasi.

Selamatkan Malaysia

Menghapuskan polio di Malaysia terutamanya di Sabah memerlukan beberapa pendekatan selain mewajibkan vaksinasi. Pendekatan ini perlu mengambil kira kesihatan penduduk tanpa kerakyatan, penduduk tidak berdokumen, pendatang asing tanpa izin dan pelarian.

Kesemua ini memerlukan perbincangan telus dan mendalam mengenai kesan kepada sistem kesihatan negara, hak kemanusiaan, keselamatan dan kedaulatan negara dan geopolitik.

Vaksinasi wajib sangat bernilai dalam mengurangkan beban penyakit, kederitaan dan kesengsaraan. Ia mampu menyelamatkan kanak-kanak daripada kecacatan yang akan menganggu gugat fizikal, emosi dan psikologi mereka. Gesaan mewajibkan vaksinasi jelas dan kita perlu menggunakan ia sebagai senjata untuk menentang penyakit ini.

Sementara bayi kita yang berusia 3 bulan di Sabah, bertarung nyawa untuk terus hidup, biarlah kita pastikan inilah kegagalan kita yang terakhir.


Tulisan ini diterbitkan oleh Persatuan, pakar kanak- kanak, pakar perubatan, ahli akademik, aktivis sosial dan peguam seperti di dalam senarai berikut:

1. Dr Khor Swee Kheng

2. Dr Ahmad Firdaus Bin Mohd Haris

3. Dr Sharonpal Singh

4. Medical Mythbusters Malaysia

5. Malaysian Medical Association

6. Dr N Ganabaskaran

7. Dato’ Dr Amar-Singh HSS

8. Prof Dr Roslina Abdul Manap

9. Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh

10. Prof Dr Lim Kean Ghee

11. Datuk Munirah Hamid

12. Dr B Priya Lakhsmy

13. Dr Mohamad Imran Idris

14. Dr Juanna Bahadun

15. Heidy Quah Gaik Li

16. Dr Tan Jenq Tzong

17. Dr Choong Chee Leong

18. Khaizan Sharizad bt Ab Razak

19. Dr Azlindarita @ Aisyah Mohd Abdullah

20. Dr Mohd Fitri Akmal bin Mohd Sofee

21. Dr Nurdiyana Nasrudin

22. Dr Woon Teck Kim

23. Dr Frienky Chong Wei Kee

24. Dr Cecilia Anthonysamy

25. Rachel Lee

26. Dr Salmah bt Bahri

27. Dr Sophia Rasheeqa Ismail

28. Dr Asraf Ahmad Bin Qamruddin

29. Dr Shazana Rifham Abdullah

30. Dr Jayakhanthan Kolanthaivelu

31. Dr Saw Shi Hui

32. Dr Khoo Hui Lynn