Clare diarah hadir mahkamah, sultanah tak perlu
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown hadir ke mahkamah bagi perbicaraan berhubung saman fitnah dari Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Saman fitnah itu berhubung kandungan dalam buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.
Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim berkata Sultanah Nur Zahirah tidak perlu menghadirkan diri ke mahkamah memandangkan telah mempunyai bukti mencukupi menunjukkan yang plaintif difitnah.
Menurutnya, permohonan dari pihak plaintif itu sah seperti mana di bawah Perintah 14A, di mana plaintif boleh memfailkan permohonan untuk saman itu untuk diputuskan tanpa perlu melalui perbicaraan penuh.
Penghakiman terus adalah keputusan mahkamah tanpa melalui perbicaraan penuh di mana kes itu akan diputuskan mengikut fakta undang-undang.
Untuk rekod, Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif sebelum ini berkata, fitnah itu antara lain bermaksud beliau mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu, menggunakan peranan untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) dan menolong ahli perniagaan Jho Low atau Low Taek Jho mendapatkan peranan sebagai penasihat dalam TIA.
Plaintif berkata, itu juga bermaksud beliau terbabit dalam rasuah.
Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif memfailkan saman itu pada 21 Nov tahun lepas dengan menamakan Rewcastle Brown atau nama sebenar Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin, serta pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Menurut peguam Haziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah, berdasarkan tulisan Rewcastle-Brown, ia jelas menunjukkan bukti tersebut.
"Kita kekal dengan pendirian bahawa Sultanah Nur Zahirah tidak pernah ada peranan (seperti yang dinyatakan dalam buku). Terbitan kedua buku itu juga jelas menunjukkan perkara yang sama.
"Bukti tersebut jelas. Sedangkan budak kecil yang membacanya pun boleh tahu," katanya kepada pemberita hari ini.
Hakim menetapkan 20 Januari 2020 sebagai kes pengurusan bagi menentukan tarikh perbicaraan tersebut.
Untuk rekod, plaintif juga menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu serta memohon defendan ketiga berhenti daripada terus mencetak salinan buku berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai