Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

AGC tak akan rayu mahkamah putuskan Seksyen 13 Sosma 'langgar perlembagaan'

Pejabat Peguam Negara tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menyatakan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah Khas) 2012 (Sosma) "melanggar perlembagaan".

Seksyen itu berkenaan larangan terhadap mahkamah daripada memberikan ikat jamin dalam kes-kes kesalahan keselamatan.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu ketika membenarkan permohonan ikat jamin Adun Gadek, G Saminathan - yang ditahan di bawah Sosma - didengar di mahkamah.

Wakil rakyat DAP itu salah seorang daripada 12 individu yang ditahan di bawah akta itu dan kemudian didakwa mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan, kerana didakwa menyokong kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dan Seksyen 130JB Kanun Keseksaan, kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan itu.

Dalam kenyataan hari ini, Peguam Negara Tommy Thomas berkata Seksyen 13 Sosma meletakkan tertuduh "secara tidak langsung di bawah tahanan pencegahan tanpa boleh merujuk kepada pihak mahkamah," sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 160 (ISA) yang telah dimansuhkan.

Pada masa sama, Thomas berkata pasukan keselamatan yang terlibat dalam kes ini wajar dipuji dan tiada undang-undang lain yang boleh digunakan untuk mendakwa mereka.

"Oleh itu pertuduhan ke atas 12 orang tersebut tidak sepatutnya menimbulkan apa-apa kontroversi, lebih-lebih lagi memandangkan ketiadaan undang-undang lain yang boleh digunakan untuk menuduh mereka.

" Seperti dalam kes-kes lain juga, beban pembuktian terletak pada pihak pendakwaan yang perlu membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di mahkamah bahawa mereka bersalah," katanya.

Tetapi, katanya lagi, akta itu menutup hak tertuduh untuk memohon ikat jamin di peringkat terawal, seperti hak yang ada pada tertuduh di bawah kebanyakan akta lain.

"Penggubal-penggubal Sosma dan Parlimen pada 2012 telah tidak mengambil kira bahawa peranan pihak mahkamah terhakis akibat Seksyen 13. Hasilnya, kuasa mahkamah telah dikurangkan.

"Dalam menjalankan budi bicara saya, saya telah membuat keputusan bahawa pendakwa raya tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang telah memutuskan bahawa Seksyen 13 Sosma bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Timbalan pendakwa raya kami akan mengendalikan setiap permohonan ikat jamin berdasarkan merit kes tersebut dan mahkamah akan menjadi penentu, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.

Berikut kenyataan penuh peguam negara:

Ikat jamin di bawah Sosma

1. Pada 29 Oktober 2019, 12 orang suspek yang terkait dengan kumpulan pengganas yang dikenali sebagai the Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) telah dituduh di bawah Seksyen 130J Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada LTTE melalui media sosial dengan mewar-warkan kumpulan tersebut kepada pihak awam, juga di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan kerana memiliki barang yang berkaitan dengan LTTE.

Kesemua 12 orang yang dituduh telah disiasat selama suatu tempoh yang wajar oleh agensi-agensi siasatan yang diamanahkan dengan tugas untuk mencegah insiden keganasan. Pengiktirafan wajar diberikan. Malaysia boleh dikatakan salah sebuah negara paling selamat di dunia, dan perkara ini adalah hasil pemantauan cekap pasukan keselamatan negara, yang mempunyai rekod yang cukup cemerlang dalam menyekat berlakunya keganasan pada peringkat awal.

Oleh itu, pertuduhan ke atas 12 orang tersebut tidak sepatutnya menimbulkan apa-apa kontroversi, lebih-lebih lagi memandangkan ketiadaan undang-undang lain yang boleh digunakan untuk menuduh mereka.

Seperti dalam kes-kes lain juga, beban pembuktian terletak pada pihak pendakwaan yang perlu membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di dalam mahkamah bahawa mereka adalah bersalah untuk kesalahan-kesalahan ini.

2. Seksyen 130 dan 130J(b) Kanun Keseksaan, yang mana kesemua mereka telah dituduh, merupakan kesalahan-kesalahan yang tertakluk kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). SOSMA memperuntukkan langkah-langkah khas dalam mengendalikan mana-mana suspek, dari penahanan suspek tersebut, sehinggalah rayuan diputuskan oleh mahkamahmahkamah tertinggi negara. Walau bagaimanapun, semenjak SOSMA berkuatkuasa, ia telah dikritik oleh sebahagian besar masyarakat.

3.Barangkali, ciri-ciri Sosma yang paling dahsyat adalah larangan mutlak mendapatkan ikat jamin mulai dari tarikh penahanan sehinggalah perbicaraan di bawah Seksyen 13, bahkan, boleh diteruskan setelah tertuduh didapati tidak bersalah di mahkamah, sementara menanti rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.

Ini bermaksud, kuasa mahkamah untuk mendengar dan menentukan ikat jamin bagi seorang tertuduh, yang merupakan rutin harian pihak mahkamah dalam mengendalikan kes-kes jenayah, adalah terhapus. Begitu juga seorang tertuduh telah hilang haknya untuk membuat permohonan ikat jamin pada peringkat terawal, yang merupakan hak baginya di bawah kebanyakkan kesalahan bukan Sosma.

4. Di bawah undang-undang jenayah, samada seseorang yang dituduh di mahkamah boleh mendapatkan ikat jamin bergantung kepada salah satu dari 3 kategori pertuduhan keatasnya iaitu:

(i) Kesalahan-kesalahan yang boleh diikat jamin

Ini adalah kesalahan-kesalahan kecil yang mahkamah hendaklah membenarkan ikat jamin, melainkan ia berpuas hati bahawa di dalam kes tersebut ia tidak wajar diberikan.

(ii) Kesalahan-kesalahan tidak boleh diikat jamin

Bagi kesalahan serius, termasuklah bunuh,rogol dan menculik. Di bawah kategori ini, adalah terletak pada tertuduh untuk meyakinkan mahkamah untuk memberikan ikat jamin kepadanya bergantung kepada situasi kes tersebut.

(iii) Kesalahan-kesalahan yang langsung tidak boleh diikat jamin

Senarai kesalahan di bawah kategori ini adalah kecil, termasuklah Sosma di mana mahkamah tiada kuasa atau budi bicara untuk mendengar permohonan ikat jamin. Oleh itu, ikat jamin langsung tidak boleh diberikan bagi kesalahan jenis ini.

5. Kesalahan di bawah kategori ketiga inilah yang menimbulkan kebimbangan pada ketika ini. Sebagaimana yang telah diketahui, bagi kesalahan-kesalahan yang langsung tidak boleh diikat jamin ini, kuasa mahkamah untuk mendengar dan menentukan permohonan ikat jamin kedua-duanya telah dihapuskan. Isu yang timbul adalah sama ada tindakan menghapuskan “kuasa mahkamah” di bawah Perlembagaan Persekutuan, terletak secara eksklusif hanya pada pihak mahkamah, sebagai cabang ketiga kerajaan.

6. Penggubal-penggubal Sosma dan Parlimen pada tahun 2012 telah tidak mengambil kira bahawa peranan pihak mahkamah terhakis akibat Seksyen 13. Hasilnya, kuasa mahkamah telah dikurangkan.

7. Undang-undang perlembagaan telah mengalami banyak perkembangan semenjak Sosma berkuatkuasa. Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada tahun 2016 dan Semenyih Jaya pada tahun 2017 telah menerima pakai doktrin struktur asas (basic structure doctrine), dan lebih utamanya, prinsip asas teguh yang tersangat penting, iaitu, kewajipan pihak mahkamah di bawah perlembagaan – yang mengecualikan kesemua bidang kuasa lain – untuk menghakimi pertikaian. Ini termasuklah permohonan ikat jamin yang dipertikaikan.

8. Saya menyedari amalan keperlembagaan (judicial trend) baharu ini apabila saya membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi pada Januari tahun ini untuk mendapatkan perintah bagi memindahkan pendakwaan kes SRC yang melibatkan Najib Razak dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. 

Dahulunya, pendakwa raya berjaya mendapat keputusan yang sama dengan hanya mengeluarkan suatu sijil pertukaran (certificate of transfer) secara pentadbiran, yang secara tidak langsung melangkaui Mahkamah. Meskipun bertubi-tubi bantahan daripada Najib Razak, Mahkamah Tinggi telah membenarkan perintah tersebut, dan keputusan itu turut dipersetujui oleh kedua-dua Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Inilah kedudukan semasa undang-undang di Malaysia.

9. Yang Arif Hakim Nazlan di Mahkamah Tinggi telah mengiktiraf prinsip-prinsip di dalam doktrin struktur asas ini yang telah dikembangkan dalam kes Indira Gandhi dan Semenyih Jaya apabila membuat keputusan bahawa Seksyen 13 Sosma adalah bercanggah dengan perlembagaan memandangkan seksyen tersebut menutup ruang untuk membuat permohonan ikat jamin kepada mahkamah. 

Oleh itu, hak tertuduh untuk mendapatkan keadilan telah dinafikan antara tarikh pertuduhan dibacakan sehinggalah rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan. Pada pandangan saya, apa-apa rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut sudah pastinya akan menemui kegagalan.

10. Adalah wajar saya nyatakan di sini bahawa kesan Seksyen 13 Sosma adalah, memandangkan tertuduh tidak boleh membuat permohonan ikat jamin dari tarikh pertuduhan dibacakan sehinggalah perbicaraannya (yang mungkin mengambil masa 9 hingga 12 bulan), tertuduh itu secara tidak langsung adalah di bawah tahanan pencegahan tanpa boleh merujuk kepada pihak mahkamah: suatu nasib yang mirip dengan mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). ISA telah dikritik hebat selama beberapa dekad sebelum dimansuhkan pada tahun 2012.

Perkara ini tidak boleh diterima kerana prinsip asas yang menjadi tunjang kepada undang-undang jenayah adalah tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah. Oleh itu, kesemua yang dituduh di bawah Sosma hendaklah dianggap tidak bersalah sehingga disabitkan; meskipun begitu, mereka tidak dapat membuat permohonan ikat jamin.

11. Kebimbangan telah dibangkitkan berhubung persoalan sama ada mahkamah akan membenarkan ikat jamin kepada seorang yang dituduh di bawah Sosma yang sedang membuat suatu bom dan berhasrat untuk menggunakannya untuk membunuh orang awam yang tidak bersalah. Dalam situasi sedemikian, rakyat Malaysia seharusnya yakin bahawa sebaik sahaja timbalan pendakwa raya (“DPP) memaklumkan mahkamah (dengan bukti yang kukuh) bahawa si pemohon ikat jamin itu sedang merancang perbuatan yang buruk lagi zalim, permohonan untuk ikat jamin itu akan ditolak. Tiada hakim yang akan bertindak secara tidak bertanggungjawab dan mengabaikan keselamatan awam.

Hakikatnya, kita hendaklah meletakkan keyakinan kepada hakim-hakim dalam menentukan suatu permohonan ikat jamin, sama ada untuk menolak atau membenarkannya, dan jika keputusan dibuat untuk membenarkan ikat jamin, untuk meletakkan syarat-syarat, termasuklah untuk tertuduh ditahan di rumahnya, memakai alat peranti elektronik, membuat laporan harian kepada pihak polis atau apa-apa syarat lain yang boleh dipohon oleh pihak polis/DPP.

12. Atas sebab-sebab inilah, dalam menjalankan budi bicara saya, saya telah membuat keputusan bahawa pendakwa raya tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang telah memutuskan bahawa Seksyen 13 Sosma bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Para DPP kami akan mengendalikan setiap permohonan ikat jamin berdasarkan merit kes tersebut dan mahkamah akan menjadi penentu, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.