Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pendakwaan sokong LTTE terhadap kami kabur, kata 2 adun DAP

Dua adun DAP yang dihadapkan pendakwaan berkaitan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE), G Saminathan dan P Gunasekaran berkata pendakwaan terhadap mereka terlalu kabur dan tidak memperincikan kesalahan melibatkan kumpulan militan itu, yang tidak lagi aktif.

Ia antara hujah yang digunakan Saminathan, adun Gadek, dan Gunasekaran, adun Seremban Jaya, dalam permohonan mereka untuk dibenar ikat jamin, di Pendaftar Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka, minggu lalu.

Bertarikh 4 Disember, notis usul mereka difailkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 November lalu, bahawa permohonan ikat jamin mereka yang ditahan atas kesalahan keselamatan perlu didengar di mahkamah, walau mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan Seksyen 13 Sosma, yang melarang mahkamah daripada memberikan ikat jamin dalam kes-kes kesalahan keselamatan, melanggar doktrin pemisahan kuasa antara badan kehakiman, badan perundangan dan eksekutif.

Menurut salinan afidavit Saminathan dan Gunasekaran yang dilihat Malaysiakini, mereka berkata pendakwaan tidak mendedahkan butiran mendalam berkenaan dakwaan sokongan mereka terhadap LTTE, kecuali menyatakan mereka menunjukkan sokongan itu dalam satu majlis di Ayer Keroh pada 28 November 2018.

"Tanpa prejudis kepada hak saya untuk memohon membatalkan pertuduhan atas alasan, antara lain, bahawa pertuduhan tersebut adalah kabur dan tidak mendedahkan sebarang kesalahan, saya telah dinasihatkan peguam cara saya, yang saya percayai tepat dan benar, bahawa saya amat diprejudiskan jika tidak dibenarkan ikat jamin oleh kerana jealas bahawa hanya menghadirkan diri di suatu majlis sudah tentunya tidak menjadi satu kesalahan," kata Saminathan.

Saminathan

Katanya, pendawaan yang kabur mengukuhkan lagi bahawa dia tidak bersalah dan itu perlu diambil kira sebagai atara faktor yang perlu diambil kira Mahkamah Sesyen untuk menimbang permohonan ikat jaminnya.

Hujah sama digunakan Gunasekaran berhubung dakwaan menyokong LTTE di acara yang sama.

Saminathan berkata lagi, dia mengalami beberapa masalah kesihatan antaranya kencing manis dan ulser gastrik yang memerlukan rawatan susulan segera di Putra Specialist Hospital.

Exco Melaka itu mendakwa dia kini hanya ditempatkan di Bilik Tawakkal di penjara Sungai buloh, yang menurutnya tidak memadai untuk merawat penyakitnya.

Hujah serupa digunakan Gunasekaran, yang berkata dia juga kini ditempatkan di Bilik Tawakkal, yang tidak menyediakan rawatan yang memadai untuk masalah kesihatannya, antaranya kencing manis.

Katanya, dia mendapat penyakit itu sejak 2013 dan memerlukan rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban, Negeri Sembilan.

Gunasekaran

Katanya lagi, tempat tahanannya di penjara Sungai Buloh pada masa ini tidak menyediakan rawatan yang mencukupi untuk masalah sakit bahu kanan (frozen shoulder) yang dialaminya.

Saminathan dan Gunasekaran juga berkata mahkamah perlu membenarkan mereka diikat jamin agar mereka dapat berkhidmat di kawasan masing-masing.

Kedua-duanya berkata mereka tiada rekod jenayah dan sumbangan dan khidmat mereka di kawasan boleh membuktikan yang mereka tidak akan menghilangkan diri jika diikat jamin, selain memberi jaminan mereka akan mematuhi syarat ikat jamin yang ditetapkan mahkamah, seperti memakai peranti pengawasan elektronik, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis secara berkala.

Saminathan, 34, dan Gunasekaran, 60, adalah antara 12 individu yang dihadapkan pendakwaan berkaitan LTTE.

Selain mereka, Malaysiakini sebelum ini turut melaporkan seorang lagi yang didakwa, B Subramaniam, 57, turut memfailkan permohonan ikat jamin di Pendaftar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selepas keputusan Nazlan yang membenarkannya.

[Baca berita asal]