Yusoff Rawther selesai beri keterangan lepas 8 jam
KEMASKINI 10.45PM | Muhammad Yusoff Rawther menghabiskan lapan jam untuk memberi keterangan ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini, berhubung dakwaannya Presiden PKR Anwar Ibrahim melakukan salah laku seks terhadapnya.
Yusoff, 26, yang tiba di Bukit Aman kira-kira pada pukul satu tengah hari tadi beredar bersama-sama peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla kira-kira pada pukul sembilan malam tadi.
Ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan, Yusoff membidas datuk saudaranya - yang sebelum ini mendakwa dia dimanipulasi ahli politik - dan mengingatkan orang luar agar tidak masuk campur dalam perkara itu.
"Keluarga saya kuat. Datuk saudara ini adalah seseorang yang saya hanya jumpa sekali setahun, ketika Hari Raya. Tiba-tiba dia sangat tahu tentang hidup saya. Ia mengejutkan.
"Keluarga saya sudah keluarkan kenyataan...Orang yang bukan sebahagian daripada keluarga saya, tak perlu masuk campur," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Haniff berkata Yusoff memberi keterangan kepada polis susulan laporan yang dibuatnya Sabtu lalu.
"Apa yang dia mahu ialah keadilan untuk dirinya dan polis sedang menyiasat. Tentulah, jika apa yang Yusoff kata itu benar, maka polis akan ambil tindakan sewajarnya dengan memberi cadangan yang perlu kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya.
"Pada masa sama, Yusoff bukan budak. Dia faham bahawa jika dia menipu, dia akan membayar harganya.
"Tetapi dia telah membuat keputusan untuk membuat laporan, atau membuat SD (akuan bersumpah), dan dia datang hari ini untuk beri kerjasama kepada polis dengan memberi keterangan tentang apa yang berlaku," kata Haniff.
Katanya, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat mencabul kehormatan.
"Pada tahap ini, polis meneliti setiap peruntukan (undang-undang). Mereka bermula dengan Seksyen 354. Biar polis menjalankan siasatan yang adil dan berikan kesimpulan yang adil.
"Apa yang dia (Yusoff) mahukan ialah keadilan melalui undang-undang," katanya lagi.
Ditanya berkenaan masa SD Yusoff didedahkan, iaitu sehari sebelum bermulanya kongres nasional PKR, atau sama ada ia bermotifkan politik seperti didakwa beberapa pihak, Haniff enggan memberi ulasan.
Setakat ini, katanya, belum ada ancaman keselamatan terhadap keluarga Yusoff.
"Saya percaya pada 6 Disember lalu, bapa Yusoff telah keluarkan kenyataan. Dari situ, kita boleh lihat ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.
"Setakat ini, belum ada gangguan atau ancaman (kepada keluarga), tetapi kita perlu berjaga-jaga," katanya lagi.
Tengah hari tadi, Ramkarpal Singh yang berada di Bukit Aman untuk satu urusan lain, berkata pasukannya tidak dapat menyerahkan notis tuntutan kepada Yusoff.
"Kami diarahkan (oleh Anwar) untuk mengeluarkan notis tuntutan.
"Tetapi kami tak dapat menyerahkannya di alamatnya di Pulau Pinang. Alamat yang dinyatakan dalam dokumen yang dikatakan SD itu. Surat dikembalikan ke pejabat saya dengan nota menyatakan dia tidak tinggal di sana.
"Kami akan hantar notis sebaik mendapat alamatnya. Jika dia ada peguam, alternatif lain adalah untuk serahkan (notis) kepada peguam," katanya lagi.
Yusoff yang merupakan bekas pekerja Anwar membuat dakwaan tersebut menerusi satu akuan bersumpah (SD) bertarikh 19 November, yang didedahkan pada 4 Disember lalu.
Dalam perakuan bersumpah itu, Yusoff mendakwa insiden itu berlaku di rumah Anwar di Segambut pada 2 Oktober 2018.
Dia mendakwa insiden itu berlaku pada hari keempat kempen PRK Port Dickson yang ditandingi Anwar.
Sehari kemudian, iaitu pada 5 Disember, Anwar dalam kenyataan menafikan dakwaan itu, dengan berkata dia sibuk berkempen pada hari kejadian itu didakwa berlaku.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tanpa asas tersebut.
"Pada tarikh yang didakwa, saya sedang giat menjalankan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai