Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kes Rafizi: Saya tak bincang dengan pengerusi SPR, jelas AG

Peguam Negara Tommy Thomas menjelaskan beliau tidak pernah berbincang dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan kes Naib Presiden PKR Rafizi Ramli di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia).

"Ya, saya tak bercakap dengannya (Azhar) tentang kes itu," katanya seperti dipetik The Edge Markets.

Pada 6 Disember lalu, The Edge Markets melaporkan Thomas sebagai berkata, pegawainya telah membuat rayuan terhadap terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Rafizi, walau sudah diputuskan kes itu tidak akan diteruskan.

"Saya terkejut kerana sudah diputuskan setelah perbincangan saya dengan Azhar yang kami tidak akan merayu. Dan keputusan itu disampaikan kepada pegawai terlibat," katanya dalam laporan tersebut.

Nama Azhar itu mencetuskan kekeliruan memandangkan kes itu tiada kaitan dengan SPR.

Hari ini Azhar menafikan pembabitannya dan berkata beliau hanya berbincang dengan Thomas berkenaan kes kelayakan Naib Presiden PKR Tian Chua untuk bertanding dalam pilihan raya, yang mana suruhanjaya itu ada kepentingan langsung di dalamnya.

Laporan terbaru The Edge Markets tidak menjelaskan soal Thomas yang membangkitkan nama Azhar dalam kes Rafizi.

Kekeliruan itu menyebabkan beberapa pihak, termasuk Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang mendesak Thomas menjelaskan perkara itu.

Peguam Haniff Khatri turut meminta penjelasan sama, sambil menyifatkan Thomas telah mengheret SPR dalam perkara itu.

"Amat penting untuk Thomas, selaku peguam negara, untuk memberikan penjelasan wajar berkenaan kenyataan Azhar," katanya dalam kenyataan.

Thomas sebelum ini berkata pihaknya akan menggugurkan rayuan terhadap pembebasan Rafizi esok dan memulakan tindakan disiplin terhadap pegawai yang bertanggungjawab membuatnya.

Bagaimanapun bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali mempertahankan tindakan pegawai itu, mendakwa memang satu kelaziman untuk Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat rayuan secara automatik jika mereka tewas dalam apa-apa perbicaraan.

Rafizi didakwa di bawah akta itu selepas mendedahkan maklumat perbankan berkaitan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Beliau membidas rayuan AGC tersebut dan menyuarakan harapannya agar Thomas turut bertindak terhadap mereka yang terlibat dalam skandal itu.

"Saya harap dia berusaha membawa ke muka pengadilan ahli keluarga bekas menteri yang mendapat manfaat daripada RM250 juta. Tiada seorang pun daripada mereka telah didakwa di mahkamah setakat ini," katanya.