‘Majoriti pimpinan AMK tak hadir kongres petang ini’
Seramai 20 daripada 25 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Pemuda PKR (AMK) mengambil keputusan tidak hadir ke sesi petang kongres nasional tahunan pergerakan itu di Melaka hari ini.
Timbalan Ketua AMK Muhammad Hilman Idham bagaimanapun menafikan tindakan itu sebagai boikot, sebaliknya dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan.
Ini susulan insiden pagi tadi sehingga menyebabkan kecederaan terhadap beberapa perwakilan dan pimpinan yang hadir.
"Setakat ini pendirian kita, bukan boikot, atas dasar keselamatan, kejadian yang berlaku ramai di kalangan perwakilan cedera, ada salah seorang ada di Hospital Melaka kerana dibaling batu, kita ambil keputusan atas dasar keselamatan tak hadir petang ini.
"Esok harap ada jaminan daripada ibu pejabat untuk seluruh pimpinan, perwakilan dan pemerhati AMK dari seluruh negara untuk hadir ke kongres.
"Kita tak mahu hadir, tak dibenarkan masuk, dipukul dan tidak diraikan," katanya pada sidang media berasingan dari kongres tersebut, iaitu di D'Village Resort hari ini.
Jelasnya, beliau menuntut supaya Syukri Razab selaku sekretariat penganjur bagi skuad keselamatan kongres bertanggungjawab atas apa yang berlaku.
Situasi tegang timbul sejak pukul lapan pagi lagi di hadapan pintu masuk dewan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Beberapa perwakilan mendakwa tidak dibenarkan masuk sedangkan pemuda berbaju hitam dikatakan hadir sebagai pemerhati dibenarkan masuk.
Kekecohan pagi itu turut melibatkan melibatkan bekas pengerusi tetap kongres Mizan Adli Mohd Noor tidak dibenarkan masuk dewan.
Pergaduhan yang tercetus itu melibatkan kumpulan pemuda berbaju hitam dengan anggota parti yang memakai baju korporat berwarna biru muda.
"Ada juga perwakilan yang menemui saya mereka tak dibenarkan masuk kerana tak pakai baju Melayu. Bagi saya ini alasan remeh.
"Ibu pejabat dah panggil pasukan Rela. Tapi tak tahu kenapa anggota skuad kita tak kenal pasti dari mana datangnya mereka tentukan ikut suka mereka siapa yang dibenarkan masuk," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai