Hilman tuntut kongres AMK dibatalkan
Susulan daripada insiden kekasaran ketika Kongres Nasional Tahunan AMK, Timbalan Ketuanya, Hilman Idham menuntut supaya kongres tersebut dibatalkan dan diadakan semula.
Menurut Hilman, beliau musykil bagaimana perwakilan dan pimpinan dengan keahlian yang sah tidak dibenarkan masuk.
Sedangkan, katanya, sekumpulan anak muda berbaju hitam yang belum pasti kesahihan keanggotaan dibenarkan masuk ke kongres yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka.
"Kepimpinan AMK akan buat laporan polis dan laporan kepada setiausaha agung (Saifuddin Nasution) dan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) untuk gesa dan tuntut kongres AMK 2019 dibatalkan dan diadakan semula.
"Beberapa laporan polis dah dibuat. Mizan dan Ramly (bekas pengerusi dan timbalan pengerusi tetap) dah buat (laporan polis), beberapa anggota perwakilan dah buat laporan polis.
"Selepas ini beberapa exco AMK yang dikasari kita putuskan akan buat laporan polis.
"Setelah lengkap kita akan teliti dan kumpulkan laporan supaya laporan lengkap kita serahkan kepada setiausaha agung parti dan ROS," katanya pada satu sidang media berasingan dari kongres tersebut, iaitu di D'Village Resort hari ini.
Situasi tegang timbul sejak pukul lapan pagi lagi di hadapan pintu masuk dewan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Beberapa perwakilan mendakwa tidak dibenarkan masuk sedangkan pemuda berbaju hitam dikatakan hadir sebagai pemerhati dibenarkan masuk.
Kekecohan pagi itu turut melibatkan melibatkan bekas pengerusi tetap kongres Mizan Adli Mohd Noor yang tidak dibenarkan masuk dewan.
Pergaduhan yang tercetus itu melibatkan kumpulan pemuda berbaju hitam dengan anggota parti yang memakai baju korporat berwarna biru muda.
Tiada isu Mizan tak dibenarkan masuk
Apabila diminta mengulas mengenai kenyataan ketua skuad PKR, Gary Marimuthu yang mendakwa insiden kekecohan itu tercetus kerana Hilman cuba membawa masuk Mizan ke kongres.
Namun, Hilman menepis dakwaan itu dan menjelaskan isu pelucutan jawatan Mizan sebenarnya telah dibangkitkan dalam pertemuan antara Presiden Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Azmin Ali tempoh hari.
"Kalau mahu diganti mesti dalam kongres. Antara perbincangan Anwar dan Azmin dipersetujui pengerusi tetap memulakan kongres.
"Peraturan tetap kongres AMK tak boleh dimulakan tanpa pengerusi tetap dan timbalan. Tanpa mereka kongres tak boleh dimulakan.
"Sepatutnya Mizan ambil alih dahulu. Sebaik sahaja ambil alih Mizan dan Ramly akan letak jawatan bagi proses pemilihan baru," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai