Superman mohon semakan kehakiman pengharaman komik BRI
Penulis komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) Meraih Manfaat Bersama Hew Kuan Yau memfailkan semakan kehakiman terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) susulan keputusan pengharaman terhadap bukunya pada Oktober lalu.
Memetik laporan The Edge Market, Hew yang juga merupakan bekas ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan Malaysia-China memfailkan permohonan semakan itu di Mahkamah Tinggi pada 26 November lalu.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, KDN, Jabatan Peguam Negara dan kerajaan sebagai responden.
“Dalam permohonannya, Hew, yang sebelum ini bersama DAP, sedang mencari cuti untuk memulakan prosiding bagi certiorari (untuk mengenepikan keputusan) membatalkan larangan itu dalam buku komiknya.
"Dia juga memohon perintah mandamus (perintah mahkamah) untuk memaksa KDN, mengembalikan kesemua salinan buku yang telah disita,” kata laporan itu.
Hew yang juga dikenali sebagai ‘Superman Hew’ memohon pengisytiharan bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak mengikut perlembagaan.
Hew yang dihubungi Malaysiakini pagi tadi, menjelaskan bahawa beliau bertindak memfailkan permohonan semakan bagi mendapatkan “penyelesaian keadilan”.
“Selepas 9 Mei (pilihan raya umum ke-14), saya percaya Malaysia mempunyai kebebasan dalam kehakiman, ssesuatu yang berharga.
“Kekurangan kebebasan kehakiman boleh disalah guna oleh eksekutif untuk mengambil tindakan terhadap pembangkang," katanya menerusi aplikasi mesej.
Hew membuat permohonan semakan kehakiman itu selepas kerajaan mengharamkan buku komiknya kerana didakwa mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.
Dalam satu kenyataan media pada 23 Oktober lalu, KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Seksyen 7 (1) menjelaskan bahawa KDN boleh melarang apa-apa penerbitan jika pihak itu berpuas hati bahawa terdapat bahan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, gugat keselamatan moral, kepentingan awam, kepentingan negara atau kemungkinan untuk mengelirukan pendapat awam.
“Kandungan penerbitan, antara lain, cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta-fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunisme dan mengandungi unsur-unsur yang menggalakkan sokongan dan simpati untuk perjuangan komunis," kata kementerian itu menerusi kenyataan.
Komik yang ditulis oleh Hew diterbitkan oleh Muzium Budaya Komik Asia dalam tiga bahasa - Melayu, Inggeris dan Cina. Larangan kementerian merangkumi kesemua tiga versi bahasa.
Ia sebahagian besarnya mempromosi China dan "Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI)" sambil meletakkan dunia Barat dalam aspek negatif.
Selain itu, antara bahagian kontroversi yang terdapat dalam komik berkenaan adalah menyifatkan orang Melayu yang bersimpati dengan etnik Uighurs di China - yang dikatakan dimasukkan ke dalam "kem pendidikan semula" oleh Beijing - sebagai "radikal".
Menurut laporan berita, Hew juga mendakwa permohonan semakan kehakiman yang dibuat terhadap buku komiknya adalah kerana penghasilan komik itu cuma bertujuan sebagai hiburan dan berdasarkan fakta-fakta sejarah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai