Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bertahankah 'gencatan senjata' PKR?

Pemimpin dua kumpulan yang bertentangan dalam PKR mencapai kompromi dan perseteruan di antara mereka dihentikan seketika.

Perkembangan yang mengejutkan itu berlaku ketika penyokong yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, bersiap sedia untuk hadir ke satu perhimpunan dijadual diadakan di Kuala Lumpur hujung minggu ini.

Pertemuan itu sepatutnya diadakan di Hotel Renaissance. Ia adalah lokasi sama PKR - atau dulunya dikenali sebagai Parti Keadian Nasional - ditubuhkan 20 tahun lalu.

Ia diadakan sebagai alternatif kepada Kongres Tahunan PKR di Melaka yang bermula malam ini.

Selepas berlangsungnya mesyuarat khas Biro Politik PKR yang mempertemukan Azmin dan presiden parti itu, Anwar Ibrahim, malam tadi, nampaknya himpunan di Hotel Renaissance itu terpaksa ditangguhkan.

"Saya nak nyatakan bahawa saya dan pimpinan akan hadir di kongres pada minggu ini," kata Azmin kepada media sebelum mesyuarat bermula.

Pertemuan itu menarik perhatian ramai kerana Azmin agak lama tidak menghadiri mesyuarat biro politik partinya walaupun hal itu dibangkitkan berkali-kali oleh beberapa pihak.

Dua-dua nampak serius

Malaysiakini difahamkan Azmin dan 11 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang setia kepadanya terlibat dalam mesyuarat "khas" biro politik itu.

Mereka disambut Anwar dan hanya beberapa anggota MPP yang menyokong ahli parlimen Port Dickson itu.

Selepas mesyuarat berakhir seorang jurucakap PKR mengumumkan dalam pertemuan berkenaan parti itu bersetuju untuk memberi ruang kepada Azmin merasmikan kongres pemuda dan wanita.

Hal itu bermakna kepemimpinan Pemuda PKR berundur daripada ketetapan sebelum ini yang menjemput bekas presiden mereka, Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jadi perasmi walaupun secara tradisi tugas itu diserahkan kepada timbalan presiden.

Wan Azizah kemudian dipersetujui akan merasmikan penutupan kongres kedua-dua sayap parti terbabit.

Beberapa pemerhati memberitahu Malaysiakini, kompromi tersebut dilakukan kedua-dua pihak.

"Anwar dan Azmin kini dilihat dengan imej yang lebih baik sebagai pemimpin yang serius untuk menyatukan parti - sekurang-kurangnya untuk hujung minggu ini," kata seorang sumber.

Ekoran mesyuarat khas semalam, beberapa pemimpin yang hadir - seperti R Sivarasa dan Shamshul Iskandar Mohd Akin - memberitahu media, agenda pertemuan berkenaan hanya membincangkan isu kongres PKR.

Maknanya ada isu panas lain - seperti keanggotaan MPP yang didominasi penyokong Anwar, atau kehadiran Azman dalam mesyuarat parti - belum ditangani.

Bagaimana isu-isu berkenaan akan dibangkitkan pada hujung minggu ini nampaknya tergantung kepada bagaimana para perwakilan berbahas sepanjang tempoh kongres berlangsung.

Kecuali Selangor, isu perpecahan dalaman parti kebanyakannya tenggelam dalam semua kongres PKR peringkat negeri.

Hanya semasa PKR Perak bersidang pada Selasa lalu salah seorang pembahas - Chua Yee Ling yang juga ketua wanita mereka - disorak dengan panggilan "Kartel".

"Ketika dua pemimpin tertinggi berdamai, ahli akar umbi - yang sudah membuat pilihan mengenai siapa yang akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri - mungkin tidak akan memberikan kemaafan dengan mudah," kata seorang pemimpin PKR kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]