Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Insurans kenderaan Zahid dan keluarga lebih RM70k

Nilai polisi insurans kenderaan yang dimiliki bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi dan keluarganya mencecah RM72,209.57 untuk 20 kenderaan yang dimiliki mereka.

Jumlah itu dimaklumkan Pengurus Cawangan Allianz General Insurance (Wisma Allianz, Jalan Gereja), Fang Suat Lim ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah dana milik Yayasan Akal Budi hari ini, yang masuk hari kelapan.

Fang yang merupakan saksi ke-13 pendakwaan memaklumkan perkara itu ketika membacakan pernyataan bertulisnya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Fang diminta timbalan pendakwa raya Lee Keng Fatt untuk mengesahkan dokumen polisi insurans pemilik kereta persendirian dan polisi tambahan enhanced road warrior, serta polisi insurans pemilik motosikal persendirian bagi polisi tambahan bike warrior, bagi kenderaan-kenderaan dimiliki Ahmad Zahid dan keluarganya.

Jumlah RM 72,209.57 adalah jumlah keseluruhan polisi insurans yang dibayar bagi 20 buah kenderaan milik mereka.

Semalam, Fang dalam keterangannya berkata sebanyak RM44,602.47 dibayar bagi 12 kenderaan.

Berdasarkan keterangan Fang, polisi insurans kereta bernilai RM56,615.62 adalah untuk sebelas kereta manakala polisi insurans motosikal pula bernilai RM15,593.95 untuk sembilan motosikal.

Polisi kereta yang dibeli oleh Ahmad Zahid adalah bagi kereta Lexus LX570 (RM8752.27), dua Toyota Vellfire (RM 7391.35 dan RM 6368.55) , Mercedez Benz CLS 350 (RM 5339.15), Audi Q7 4.2 (A) (RM 5058.6), Chrysler Jeep Wrangler (RM 4925.15), Honda Odyssey (RM 3333.55), Mini Cooper S (RM 2688.35) dan BMW 320i (A) (RM 2004.9).

Manakala polisi yang dibeli oleh isteri Ahmad Zahid, Hamidah Khamis adalah bagi kereta BMW X5 (RM 2443.25), manakala satu SUV Toyota Land Cruiser dibeli oleh Juhari Janan (RM 7391.35).

Untuk rekod, berdasarkan keterangan saksi ke-12 kelmarin, Zaharudin Zainuddin, nombor pendaftaran bagi BMW X5, iaitu TAF 38 kini didaftarkan atas kenderaan Lexus Lx 460, manakala nombor pendaftaran bagi Mini Cooper S, iaitu DH 38 kini didaftarkan atas kenderaan Toyota Vellfire.

Zaharudin juga kelmarin mengesahkan alamat dalam polisi Juhari adalah sama dengan alamat Ahmad Zahid. 

Juhari pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Ahmad Zahid ketika pemimpin Umno itu menjawat jawatan timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri.

Zaharudin merupakan Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya.

Polisi motosikal yang dibeli Ahmad Zahid melibatkan Harley Davidson (RM 2575.85 dan RM 1704.6), Ducati Diavel Carbon (RM2575.85), BMW C600 Sport (RM2077.65), BMW R1200 GS (RM2036.3), BMW R1200 RT (RM1494.25), dan Honda C100 (RM151.75).

Manakala yang dibeli Hamidah ialah motosikal Ducati Hypermotard (RM2285.8) dan Kawasaki KLX 250 V (RM691.9).

Fang turut diminta Lee untuk mengesahkan perakuan di bawah Seksyen 90A Akta Keterangan 1950 terhadap lapan resit rasmi Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, bagi pembayaran polisi insurans berkenaan.

Menurut Fang, jumlah pembayaran yang dilakukan ialah RM 65,070.04 dari Januari hingga November 2015 dan dibuat menggunakan cek menerusi Public Bank Berhad, Public Bank Islamic dan Maybank Berhad.

Menurutnya lagi, nilai bayaran polisi insurans seperti yang tertera di dalam setiap polisi insurans dan nilai di dalam resit rasmi adalah berbeza kerana jumlah yang dibayar oleh agen insurans kepada Allianz General Insurance telah ditolak komisen agen terbabit.

“Agen insurans akan menerima komisen sebanyak 10 peratus daripada jumlah premium insurans yang dibayar oleh pelanggan,” katanya.

Tambahnya lagi, semua pembayaran dilakukan menerusi Syarikat Maya Consultant Services dan ejen insurans, Ahmad Izhan Abdul Rashid kepada Allianz General Insurance.

Dalam pemeriksaan tambahannya, Lee turut meminta Fang mengesahkan nombor ejen insurans seperti yang tertera dalam pernyataan bertulisnya.

Lee: Semalam, puan ada menyebut, nombor kod agen insurans dalam perenggan lima semalam. Puan tahu (nombor) ini milik siapa?

Fang: Milik Ahmad Izhan.

Lee: Puan kenal dia?

Fang: Kenal.

Lee: Kenal sebagai siapa?

Fang: Dia ejen kepada Allianz General Insurance.

Lee: Kamu masih camkan dia?

Fang: Ya.

Setelah itu, Fang dilepaskan tanpa dibebaskan untuk tujuan pengecaman di kemudian hari selepas pihak pembelaan tidak berminat melakukan pemeriksaan balas.

Ahmad Zahid berhadapa 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.

Pasukan pendakwaan memulakan perbicaraan dengan cuba membuktikan Ahmad Zahid, selaku pemegang amanah, menyeleweng kira-kira RM31 juta dana milik Yayasan Akalbudi.

Sebaliknya, melalui jejak aliran tunai, pihak pendakwaan akan membuktikan satu amaun besar daripada dana itu digunakan untuk, antara lain, membayar bil kredit kad peribadi, membeli polisi insurans kenderaan bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.

Perbicaraan bersambung Isnin, 9 Disember.