Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahdzir: Umno tak perlu ubah asas perjuangan untuk Melayu

WAWANCARA| Umno tidak perlu mengubah asas perjuangannya untuk bangsa Melayu dan Bumiputera kerana ia bukan perkauman, kata Mahdzir Khalid.

Naib presiden Umno itu berkata, parti yang ada di negara ini kebanyakannya adalah berasas kepada kaum.

"Parti yang wujud di Malaysia, parti yang wujud atas asas keturunan atau bangsa, Umno asasnya Melayu, DAP Cina, Bersatu Melayu, PKR boleh dikatakan pelbagai kaum.

"BN jadi kerajaan, semua kaum dapat manfaat daripada dasar kerajaan BN. Kalau kata rasis takkan nak ada ekonomi terbuka, ekonomi kapitalis merentasi sempadan bangsa.

"Soal rasis tak ada, cuma timbul apabila Umno jadi pembangkang bersama PAS, ia kelompok Melayu menjadi semakin besar, (mereka) bimbang takut kuasai politik negara," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

Mengulas kerjasama Umno, PAS yang dilihat kurang disenangi seteru politik mereka, Mahdzir berkata Muafakat Nasional telah menunjukkan keberkesanannya.

Katanya, isyarat jelas dihantar rakyat yang menyambut baik Muafakat Nasional dengan memberi kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini.

Tambahnya, Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama, namun kaum Melayu masih lagi majoriti.

Oleh itu, kata Mahdzir yang juga bekas menteri pendidikan, orang Melayu perlu dominan dalam politik negara.

"Umno tak perlu ubah (perjuangan Melayu), dominasi politik perlu orang Melayu, sebab majoriti rakyat adalah Melayu, bukan kita tak mahu kaum lain, bahkan kita boleh bersama dalam kerajaan yang dominan Melayu," jelasnya.

Mahdzir juga berkata, Bersatu - parti Melayu dalam gabungan PH - tidak mendapat sokongan seperti Umno.

Katanya, perkara itu dapat dilihat pada PRK Tanjung Piai baru-baru ini yang menyaksikan kekalahan calon PH dari Bersatu kepada calon MCA dari BN.