Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penduduk Kg Chucoh Puteri kongsi detik cemas dilanda 'kepala air'

Lebih teruk daripada bah kuning pada 2014, demikian gambaran penduduk Kampung Chuchoh Puteri, di Kuala Krai terhadap kejadian ‘kepala air’ yang melanda kampung itu ekoran hujan lebat berterusan, Ahad lepas.

Mek Som Awang Noh, 60, yang telah lama menetap di kampung itu berkata fenomena ‘kepala air’ yang kuat itu, pertama kali berlaku di kampungnya, sehingga merosakkan rumah.

Wanita itu berkata penduduk kampung sudah berada dalam keadaan berjaga-jaga, setiap kali tibanya musim tengkujuh, namun mereka tidak menyangka berlakunya kejadian luar biasa itu.

“Jika banjir bah kuning pada tahun 2014 sudah teruk, namun kali ini ia berlaku lebih teruk apabila air di dalam rumah saya mencecah sehingga paras lutut, berbanding lima tahun lepas yang paras airnya hanya di tangga rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kuala Krai, hari ini.

Mengimbas detik cemas itu, Mek Som berkata ketika kejadian sekitar jam 1 tengah hari itu, dia baru sahaja pulang ke rumah selepas menoreh getah, dan terkejut melihat air tiba-tiba mengalir deras daripada benteng pasir yang terletak di kawasan belakang rumahnya.

“Ketika itu saya hanya mampu melaungkan ‘Allahuakbar’ dan tidak memikirkan benda lain selain untuk menyelamatkan diri ke surau berdekatan,” katanya sambil meluahkan kekesalan kerana ada segelintir pihak mendakwa, video kejadian itu yang tular di laman sosial adalah video bah kuning pada 2014, sedangkan ia video terbaru.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Mohd Yunus, 60, berkata sejak menetap di kampung itu 30 tahun lepas, kejadian itu merupakan kejadian paling tragis, yang dialami olehnya sekeluarga.

Katanya, hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari menyebabkan dia sekeluarga tidak lena tidur dan melihat keadaan yang semakin serius, beberapa penduduk mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengalihkan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi dan selamat.

“Ketika kejadian, saya bersama empat anak sedang berehat di dalam rumah, namun saya terdetik untuk menjenguk ke luar dan terus terkejut apabila melihat air sudah berada di paras tangga rumah. Bimbang dengan keadaan itu dan memikirkan keselamatan keluarga, kami terus bersepakat keluar daripada rumah dan berteduh di madrasah terdekat,” katanya.

Zulkifli berkata ekoran kejadian itu, lumpur setebal 0.5 meter telah meliputi kawasan dalam rumahnya dan menyukarkan proses pembersihan.

Media sebelum ini melaporkan lebih 100 mangsa daripada kira-kira 20 keluarga di Kampung Chuchoh Puteri, berdepan detik cemas apabila kampung berkenaan dilanda fenomena 'kepala air' yang menyebabkan kampung itu ditenggelami air secara mendadak, sehingga paras satu meter kira-kira 5 petang, Ahad lepas.

- Bernama