Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Naib ketua AMK sahkan pertemuan berasingan PKR di KL

Suatu pertemuan berasingan akan diadakan untuk anggota dan pemimpin PKR di Renaissance Hotel di Kuala Lumpur pada hujung minggu akan datang, kata Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Nazree Yunus.

Pertemuan itu, yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, akan berjalan serentak dengan kongres tahunan perwakilan parti di Melaka.

"Yang saya dimaklumkan, ada pertemuan dan program kepimpinan PKR. Saya kira ia pertemuan biasa.

"Setakat ini, saya ingat saya boleh sahkan ada. Dua hari, Sabtu dan Ahad," kata Nazree kepada Malaysiakini.

Tanpa menamakan penganjur pertemuan tersebut, pemimpin AMK itu berkata dia menjangkakan Azmin dan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin akan hadir bersama-sama dengan wakil rakyat dan para pemimpin sayap parti.

Nazree berkata pada kemuncak majlis itu pemimpin parti akan berucap menyatakan "beberapa pendirian utama."

"Mungkin ini satu manifestasi dari pimpinan kanan yang terlibat dan juga anggota parti untuk suarakan isu dan pandangan.

"Apapun ini negara demokratik. Terpulang nak sertai mana-mana program," katanya.

Nazree mendakwa cuma 2,000 perwakilan daripada 600,000 anggota parti yang akan hadir Kongres Nasional PKR di Melaka.

"Ada lagi 500,000 lebih boleh adakan program, dan kalau ianya kebetulan dengan tarikh kongres, mungkin satu kebetulan.

"Saya juga tak tolak kemungkinan, perwakilan (kongres PKR) yang berdaftar yang mungkin berminat untuk menyertai program lain, mereka juga boleh lakukan atas keputusan atau tindakan peribadi," katanya lagi.

Nazree juga ditanya jika pertemuan ini boleh dianggap sebagai "kongres beriringan" atau Kongres PKR 2.0."

"Saya serah pada media untuk menilai lah. Ia satu medan pertemuan dan ruang untuk menyatakan pandangan," jawabnya.

Kongres rasmi PKR akan bermula esok malam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dengan majlis perasmian perhimpunan sayap wanita parti.

Azmin dijadualkan merasmikan kongres Wanita PKR.

Pada Jumaat, perwakilan Pemuda PKR (AMK) akan mula berkumpul pada sebelah pagi dan kongres AMK akan dirasmikan penasihat parti Dr Wan Azizah Wan Ismail pada tengah hari.

Sejumlah besar pemegang jawatan AMK pusat yang dipilih, termasuklah Nazree mengkritik keputusan yang dikatakan melanggar tradisi apabila timbalan presiden PKR tidak akan merasmikan kongres AMK.

Bagaimanapun, pemimpin AMK yang menyokong ketua pemuda parti Akmal Nasir mendakwa mereka mengundang Wan Azizah kerana Azmin tidak menjawab jemputan selama enam minggu.

[Baca berita penuh]