Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Layar koyak dah dijahit, pendayung patah dah dibaiki'

WAWANCARA | 'Bahtera Umno' yang hampir karam selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu sudah semakin pulih dan kembali mendapat sokongan rakyat, kata Ketua Pemudanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata ahli parti perlu memahami perjuangan Umno yang sebenarnya dan tidak menyertai Umno semata-mata untuk mencari habuan ataupun kedudukan.

"Bahtera (Umno) makin pulih, layar yang koyak sudah dijahit, pendayung yang patah telah pun dibaiki.

"Pilihan raya kecil (PRK) telah memberikan hasil yang positif ada harapan untuk kembali bangkit, tetapi tidak boleh ambil secara mudah dan alpa," katanya ketika sesi wawancara bersama Malaysiakini.

Umno yang merupakan tunjang dalam BN tewas dalam PRU ke-14 lalu selepas lebih 60 tahun mentadbir negara.

BN yang ketika itu dipimpin bekas perdana menteri, Najib Razak gagal mempertahankan penguasaan mereka di Putrajaya selepas tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) diketuai Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Kekalahan BN buat pertama kali dalam sejarah negara menyaksikan Najib melepaskan jawatan sebagai presiden Umno.

Bagi meneruskan kelangsungan politik, Umno menjalin kerjasama politik "taawun siyasi" bersama PAS yang telah menjadi seteru politik sejak puluhan tahun.

Mengulas mengenai kemenangan BN dalam PRK Tanjung Piai baru-baru ini, Asyraf berkata kemenangan besar itu adalah manifestasi kemarahan rakyat terhadap PH.

Bagaimanapun katanya, Umno, BN tidak boleh angkuh dengan kemenangan itu selain tidak boleh hanya berharap pada kemarahan rakyat untuk menumbangkan PH.

"Tanjung Piai adalah manifestasi rakyat marah terhadap PH. Penipuan terhadap janji-janji yang ditawarkan dalam manifesto.

"Umno tidak boleh harap kepada kemarahan rakyat terhadap PH, kerana ia tidak bermakan rakyat sudah terima Umno.

"Sebaliknya Umno perlu bersedia menawarkan tawaran yang baru kepada rakyat, Umno tak boleh henti agenda pemerkasaan parti. Jadi jurubicara rakyat yang berkesan," katanya.

Sementara itu, Asyraf turut ditanya mengenai kelantangan sayap parti itu dalam memperjuangkan sesuatu isu termasuk menegur kepimpinan parti.

Asyraf berkata, Pemuda Umno perlu mempunyai jati diri dan bukan saja menjadi suara pendesak dalam parti, bahkan kepada rakyat.

"Pemuda Umno tidak boleh dilihat sebagai lalang, kita perlu ada jati diri, perlu punyai idealisme yang tinggi, pemikiran bebas dan tidak terikat dengan bebanan lampau.

"Pemuda tegas bersuara dalam isu-isu yang menyentuh soal kepentingan rakyat," katanya.

Malam ini, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan akan merasmikan perhimpunan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri parti itu.