Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Malaysia negara berdaulat, bukan 'bakul sampah'- Ibrahim

'Kehilangan' 95 peratus warga China dan India yang melawat ke negara ini seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2018 siri dua adalah sesuatu yang serius dan boleh mengancam keselamatan negara.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali, berkata Malaysia bukan "negara bakul sampah" dan tindakan serius perlu diambil bagi mengesan pelancong yang hilang itu.

Tambahnya, kerajaan perlu mengisytiharkan darurat jika perlu bagi melakukan proses pemutihan bagi mengesan pelancong-pelancong berkenaan.

"Ini merupakan satu laporan audit yang sangat serius dan mengejutkan, apakah Malaysia bukan lagi negara berdaulat ataupun negara bakul sampah, masuk (Malaysia) tak payah keluar.

"Saya terkejut bagaimana boleh berlaku, ketua pengarah Imigresen dan Bukit Aman perlu memberi penjelasan kepada umum, ini perkara serius, ia soal keselamatan negara.

"Jika perlu isytihar darurat dua minggu dan buat pembersihan secara besar besaran supaya Malaysia kembali berdaulat dan menjadi negara yang menjunjung tinggi undang-undang," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Ibrahim yang juga presiden Perkasa mendesak kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu berkenaan.

Menurut laporan audit yang dikeluarkan semalam, data sepanjang 2016 hingga 2018 melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) mendapati daripada 79,799 warga China yang masuk ke negara ini, seramai 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

"Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

"Pengauditan itu juga mendapati data kira-kira 1.26 juta warga China dan 295,634 warga India masih diproses secara manual di bawah MyIMM," kata laporan berkenaan.

Sementara itu, Ibrahim meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya membatalkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) ketika negara berdepan isu keselamatan yang serius.

"Saya mengalu-alukan penanguhan IPCMC oleh kerajaan, jika boleh di batalkan saja, guna kaedah lain untuk tambah baik khidmat polis," katanya.