Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua wanita Umno bakal setaraf timbalan presiden - Ismail

WAWANCARA |  Umno akan meminda perlembagaan parti itu bagi mengangkat kedudukan ketua wanita Umno setaraf timbalan presiden parti itu.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob berkata ia sebagai pengktirafan terhadap sumbangan wanita dalam membantu merencana kelangsungan parti itu.

Pindaan perlembagaan parti itu akan dilakukan pada Perhimpunan Agung Umno 2019 yang akan berlangsung esok sehingga Sabtu ini.

"Jawatan ketua wanita Umno dinaik taraf sama 'level' dengan timbalan presiden parti, ia sebagai pengiktirafan kepada peranan wanita Umno.

"Kalau kita lihat dalam apa juga gerak kerja wanita telah memainkan peranan yang tidak boleh kita nafikan, bahkan kalau datang mesyuarat pun wanita komitmennya cukup bagus.

"Begitu juga dalam gerak kerja pilihan raya, duit tak 'turun' pun wanita tetap melaksanakan tugas dengan baik," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.

Pada pemilihan Umno Jun tahun lalu, Noraini Ahmad dipilih sebagai ketua wanita Umno yang baru selepas jawatan itu dikosongkan Shahrizat Abdul Jalil.

Noraini yang juga MP Parit Sulong menewaskan pencabarnya yang juga bekas naib ketua wanita Umno Azizah Mat Dun.

Pada pemilihan parti itu juga menyaksikan jawatan ketua pemuda Umno dimenangi bekas timbalan menteri di jabatan perdana menteri, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Manakala Senator Zahida Zarik Khan telah dipilih memegang jawatan ketua puteri Umno.

Mengulas lanjut, Ismail berkata mesikipun jawatan ketua wanita Umno setaraf timbalan presiden, namun ia tidak boleh menggantikan timbalan presiden.

"Katakanlah, timbalan presiden Umno letak jawatan, ketua wanita tidak boleh ganti atau memangku jawatan itu, ia mesti dipangku naib presiden Umno," jelasnya.

Sementara itu, beliau juga ditanya mengenai krisis dalaman Umno termasuk isu anggota parlimen Umno mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Ismail berkata, semua isu itu telah berakhir dan tidak berbangkit lagi apabila satu pertemuan "dari hati ke hati" telah berlangsung baru-baru ini.

"Kita dah panggiil anggota parlimen BN pada satu malam dari hati ke hati kita telah nyatakan apa yang boleh dan tidak boleh.

"Timbul sedikit kesilap fahaman, presiden (Umno) juga datang dan isu ini sudah selesai, tutup buku," katanya.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 akan bermula malam esok dengan majlis perasmian pembukaan.