Pindaan perlembagaan untuk hadkan tempoh PM 2 penggal dibentang
PARLIMEN | Kerajaan memulakan langkah untuk mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal - iaitu sepuluh tahun - menerusi pindaan perlembagaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU itu dijangka akan dibahaskan di sidang seterusnya pada Mac tahun depan.
Menurut rangka RUU itu, Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan akan dipinda kepada: "Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang Ahli Dewan Rakyat -
(i) yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat itu; dan -
(ii) yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen;"
Pada Oktober lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan merancang untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri kepada dua penggal.
Pindaan perlembagaan tersebut bertujuan mengekang kuasa perdana menteri dan pemegang jawatan lain.
Ia antara janji yang terkandung dalam manifesto PRU ke-14 Pakatan Harapan (PH).
Dalam respons segeranya, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin mengalu-alukan langkah itu.
"Klausa kecil di Parlimen, langkah besar dalam demokrasi. Hari ini Parlimen membentangkan pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal.
"Bukti jelas PH sedang meneruskan pembaharuan seperti yang dijanjikan dalam manifesto," katanya di Twitter.
Dalam sidang media kemudian, Liew menjelaskan pindaan itu hanya terpakai untuk lantikan perdana menteri selepas ia diwartakan.
"Ia tidak melibatkan penggal sebelumnya bagi perdana menteri sekarang.
"Hari ini bacaan pertama, selepas ini kita akan bawa kepada pemegang taruh terlibat dan mendapatkan pandangan," katanya.
Ditanya sama ada Najib Razak - yang menjadi perdana menteri selama dua penggal - boleh kembali memegang jawatan itu, Liew menjelaskan pindaan itu tidak bersifat retrospektif (yang telah berlalu).
"Jadi jika dia kembali (memegang kuasa) mungkin paling lama dia boleh pegang ialah dua penggal," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai