Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Shahrir ke Menara Felda ambil writ saman

Bekas Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad hari ini menerima writ saman daripada Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Ditemui pemberita di lobi Menara Felda di Kuala Lumpur, Shahrir berkata beliau boleh menerima writ saman itu di rumah namun memilih untuk mengambilnya sendiri writ saman itu.

“Saya memilih penyerahan writ saman dan tuntutan ini oleh peguam Felda dibuat di ruang legar menara dalam semangat keterbukaan.

"Ini soal penting jadi kena ada semangat keterbukaan walau ia melibatkan saya dan Felda. Lebih baik tuntutan undang-undang seperti ini tidak dibuat secara tertutup kerana kes ini ada kepentingan awam kerana Felda agensi kerajaan," katanya.

Shahrir berkata beliau belum membaca writ saman tersebut dan peguamnya akan meneliti isi kandungannya nanti.

Bagaimanapun beliau memetik tulisan wartawan veteran A Kadir Jasin berkenaan tiga tuntutan Felda, iaitu geran untuk 17 lot tanah di Jalan Semarak, pembatalan perjanjian antara Felda dengan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) - syarikat yang dahulunya dilaporkan sebagai pemaju untuk Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) - dan pampasan serta ganti rugi berjumlah RM2.06 bilion.

"Saya tak tahulah mana penglibatan saya, mungkin bayar pampasan. Saya tak tahu tetapi peguam saya akan lihat," katanya lagi.

Beliau merujuk artikel Kadir yang disiarkan di Sinar Harian pada 17 November lalu.

Pada 15 November lalu, Felda dan FIC memfailkan saman terhadap Shahir, Isa Samad, SPSB serta 18 yang lain untuk mendapatkan perintah bagi membatalkan dengan serta-merta semua instrumen pindah milik tanah di Jalan Semarak.

Sebanyak 21 pihak dinamakan sebagai defendan antaranya Pengarah Besar Felda Faizoull Ahmad, bekas Ketua Pegawai Eksekutif FIC Mohd Zaid Abdul Jalil, Pengarah SPSB Abd Rahman Soltan dan Noraini Soltan, SPSB dan Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (SPKLVC), bekas Pengarah Besar Felda, Hanapi Suhada, bekas Pengarah Besar Felda, Ab Ghani Mohd Ali, bekas Pengarah Tanah Felda Shahrizal Mohd Saleh dan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam saman itu, Felda dan FIC menuntut pembatalan instrumen pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, serta deklarasi bahawa dokumen-dokumen berkaitan - antaranya surat Tawaran FIC, Surat Tawaran Felda, Perjanjian Pembangunan - sebagai tidak boleh dikuatkuasakan, batal atau tidak sah.

Felda turut menuntut pampasan dan ganti rugi berjumlah RM1.062 bilion atas pelanggaran kewajipan fidusiari yang ditanggungnya, serta sejumlah lagi lagi rugi lain.

Shahrir: Geran sudah dikembalikan

Sementara itu, Shahrir berkata beliau terkejut dengan tulisan Kadir, yang juga penasihat komunikasi dan media perdana menteri, berkenaan tanah Felda di Jalan Semarak.

“Saya teperanjat bila Kadir Jasin kata kembalikan tanah. Sebab saya ingat dulu sudah dikembalikan," katanya sambil berkata geran 17 lot tanah itu dipegang Felda.

“Pada Febuari 2018, pihak SPSB telah pun mengembalikan semula semua lot tanah dan Felda ketika itu telah mendaftarkan semula tanah-tanah itu sebagai milik Felda.

Shahrir berkata beliau juga telah membuat carian di Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan bagi membuktikan tanah tersebut sudah didaftarkan atas nama Felda.

“Kita dapati semua lot tanah yang terlibat, 23 lot tanah semuanya, sudah pun berdaftar atas nama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dan juga saya difahamkan geran tanah berkenaan juga dalam simpanan Felda," katanya lagi.

Justeru, katanya lagi, beliau mengongsikan hasil carian itu kepada empat pemegang taruh dalam Felda - ketua peneroka, Persatuan Pegawai-pegawai kanan Felda, Kesatuan Pekerja Felda dan Majlis Belia Felda - untuk menjelaskan keadaan itu.

"...Sebagai pengerusi Felda dulu saya bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini...Saya bercakap benar bahawa tanah itu telah pun dipulangkan serta didaftarkan kembali kepada Felda,” katanya lagi.