Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MIC sedia sertai Muafakat Nasional

Parti komponen BN, MIC hari ini menyatakan kesediaan menyertai Muafakat Nasional.

Presiden MIC SA Vigneswaran yang memaklumkan perkara itu mengambil pendirian berbeza berbanding Presiden MCA Wee Ka Siong yang melihat BN sebagai satu-satunya gabungan.

Ketika ditanya tentang perkara itu, Vigneswaran berkata: "Ya, sudah tentu."

Terdahulu hari ini, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata bahawa MIC berminat untuk menyertai Muafakat Nasional.

"MIC sangat berminat untuk turut serta, dan MCA juga - dengan prinsip mereka - selagi ia tidak bercanggah dengan perlembagaan, mengapa tidak?" katanya.

Mohamad memberitahu media bahawa jawatankuasa teknikal Muafakat Nasional sedang meneliti pilihannya sebagai sebuah gabungan.

Mohamad berkata, hal itu sedang diperhalusi dari segenap aspek dan sudut.

"Sama ada mahu dibentuk Muafakat Nasional itu sebagai parti (gabungan) atau sekadar gabungan longgar, atau jika BN dan parti lain mahu menyertainya sendiri atau kita membentuk satu blok," katanya.

Bagaimanapun, Wee berkata bahawa MCA melihat Muafakat Nasional sebagai semangat perpaduan pembangkang.

"Tidak, tidak, kita hanya tampil dalam satu pakatan, iaitu BN. Saya tidak faham apa yang anda katakan mengenai gabungan baru.

"Saya berkata dalam ucapan dasar saya, ia semata-mata semangat kebersamaan pembangkang... Interpretasi saya terhadap Muafakat Nasional - ia bukan sesuatu yang anda perlu memohon untuk menjadi ahli, tetapi sesiapa yang ingin, yang menyokong idea, termasuk rakyat Sarawak, Sabah, dan mereka yang mahu bertanding bersama, "kata Wee.

Semalam, apabila ditanya sama ada MCA akan menyertai Muafakat Nasional berikutan kemenangan BN di pilihan raya kecil Tanjung Piai, Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon menjawab dengan berfalsafah: ""Politik seperti kehidupan. Ia tidak dapat diramal. Kamu tidak pasti apa akan berlaku esok."