Persatuan industri lancar kempen vape terkawal
Persatuan industri vape hari ini melancarkan kempen di Kuala Lumpur bagi menyokong usaha kerajaan dalam memperkenalkan peraturan mengawal selia penggunaan vape.
Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta) menamakan kempennya "#vapeterkawal."
Mevta juga berkata tidak mempunyai masalah sekiranya undang-undang kawalan rokok elektronik (vape) yang sedang dirangka kerajaan turut termasuk kawalan terhadap iklan vape.
Presiden Mevta, Rizani Zakaria berkata pengawalan sebegitu sememangnya “patut ada” bagi mengelakkan iklan-iklan vape yang berunsur melampau dan provokasi.
“[...] kami sangat menjaga etika (menghisap vape), termasuk juga pengiklanan. Yang saya maksudkan, pengiklanan yang melampau-lampau, sebab ini Malaysia.
“Walaupun kita majmuk, ada Cina, Melayu, India, tapi kita masih menjaga adab sesama kita.
“Iklan yang melampau dan provokasi yang melampau, bagi saya tak bolehlah. Memang kita tak setuju. Jadi pengawalan iklan itu sebenarnya patut ada juga,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran kempen #vapeterkawal di APW Bangsar hari ini.
Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita yang bertanya tentang kemungkinan kawalan iklan dalam undang-undang yang sedang dirangka, seperti yang dikenakan terhadap rokok dan tembakau.
Majlis pelancaran kempen #vapeterkawal ini turut dihadiri oleh Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), dan wakil daripada pertubuhan pengguna dan industri vape luar negara termasuk China, Korea Selatan, Indonesia, FIlipina dan Thailand, selain diserikan dengan kehadiran artis-artis terkenal seperti AC Mizal, Hazama, Drama Band, Ayu Damit, Syafiq Farhain dan ramai lagi.
Untuk rekod, tindakan menunjukkan pempaketan rokok dalam iklan telah dilarang sejak 1995, manakala pengiklanan tembakau pula diharamkan sejak tahun 2003.
Sebelum ini, ada iklan vape yang disiarkan di media sosial menerima kritikan hebat kerana memaparkan unsur-unsur lucah.
Trend vape juga kini menyebabkan ramai selebriti terkenal melancarkan jenama sendiri dan turut mengeluarkan iklan bagi melariskan jenama mereka di media sosial.
Bagaimanapun, sesetengah pihak melahirkan kerisauan tentang pengaruh iklan yang memaparkan selebriti terkemuka itu bebas ditonton oleh pengguna media sosial termasuk kanak-kanak.
Bagi Rizani sendiri, dia berpendapat larangan iklan yang menyasarkan golongan bawah umur merupakan perkara “paling penting” yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Ketika mengulas mengenai proses merangka undang-undang berkaitan kawal selia vape, timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye pada hari ini berkata ia turut merangkumi kandungan cecair vape.
Jelasnya, ini bagi memastikan kandungan cecair vape tidak dicampurkan dengan bahan kimia lain dan penjualannya hanya terhad kepada golongan dewasa sahaja.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jun lalu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang dan usaha mengawal selia isu penggunaan vape dan rokok elektronik.
Mengulas hal itu, Rizani bersama DPVM sekali lagi mengalu-alukan langkah kerajaan bagi mengawal selia industri vape, termasuklah penguatkuasaan kawalan penggunaan vape di tempat terbuka, pengenaan cukai terhadap cecair vape, serta kawalan piawaian peranti dan cecair vape.
Menurut Rizani juga, pihaknya dimaklumkan pembentangan peraturan terhadap vape dijangka dibentangkan selewat-lewatnya Mac 2020.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai