Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mujahid harap Dong Zong menyumbang ke arah pembangunan, perpaduan nasional

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) dan mana-mana pertubuhan pendidikan lain perlu ada satu pemikiran untuk mencapai agenda besar yang ditetapkan dasar negara.

Agenda besar yang dirujuk Mujahid ialah pembangunan dan perpaduan nasional.

Hari ini Mujahid diundang Dong Zong untuk merasmikan seminar bertajuk Menerokai Masa Depan Pendidikan - Konsep, Metodologi dan Pragmatik di Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur.

"Saya terima kehadiran (undangan) ini untuk menyampaikan hasrat kerajaan baru bahawa semua pihak, termasuk Dong Zong, ada peranan besar untuk menyumbang kepada perpaduan nasional.

"Mana-mana sekolah yang bernaung di bawah Dong Zong, selagi mereka berdaftar, dan mahu menyumbang kepada perpaduan dan pembangunan negara...Saya harap mereka dapat menyumbang kepada kepentingan nasional.

"Kita mahu lihat semua pihak ada satu mindset, walau (pihak tersebut) bergerak atas apa jua persatuan pendidikan, tetapi mereka perlu ada agenda besar yang bukan ditentukan oleh mereka tetapi ditetapkan dasar negara," katanya ketika ditemui pemberita.

Antara isu yang disuarakan Dong Zong - dan menyebabkan mereka menjadi perhatian - adalah penentangan terhadap pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi untuk murid tahun 4 sekolah vernakular yang dijadual bermula tahun depan.

Pada Ogos lalu, Kementerian Pendidikan memutuskan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina akan diteruskan tetapi hanya jika ia dipersetujui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid.

Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) dan sejumlah NGO masyarakat Cina pula mahukan lembaga sekolah dibenarkan untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Mujahid berkata untuk mencapai agenda nasional, semua pihak perlu mempunyai keseimbangan untuk apa yang mereka mahukan dan apa yang mereka harus sumbangkan.

Beliau memetik kata-kata ahli falsafah Lao Tze: "Jika anda sedia untuk mengambil peluang yang ada, anda pada awalnya perlu sedia memberikan kepentingan anda kepada orang lain. Inilah permulaan kecerdikan."

Mengulas lanjut, Mujahid berkata toleransi membentuk nilai "kompromi (give and take)" tetapi sitilah itu memiliki tanggapan negatif kerana ia " didorong atas keterpaksaan".

"Untuk itu, toleransi perlu diangkat kepada satu tahap yang lebih tinggi lagi iaitu humility atau berendah diri.

"Di sinilah terletaknya kemuncak pengorbanan. Pengorbanan pada dasarnya bukan tentang diri kita tetapi tentang bagaimana orang lain boleh tumpang bergembira dengan diri kita selagi tujuannya adalah untuk kepentingan yang lebih besar.

"Kita tidak mungkin berkorban selagi kita tidak menundukkan cita-cita kita untuk tujuan yang lebih besar, tiada yang lebih besar daripada mencapai agenda rakyat untuk kepentingan semua pihak," katanya.