Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Spotify kini jadi wilayah terbaru dakwah mufti WP

Aplikasi Spotify sememangnya menjadi pilihan pengguna telefon pintar untuk berhibur sambil mendengar seleksi lagu-lagu lama atau terkini daripada penyanyi kegemaran masing-masing.

Tetapi kini, aplikasi itu juga boleh dimanfaatkan untuk mendengar rakaman kuliah Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad.

Berita baik itu diumumkan sendiri di laman sosial Zulkifli siang tadi.

"Mufti Wilayah Persekutuan kini di Spotify. Muat turun aplikasi Spotify di Google Play Store dan App Store untuk mendengar audio kuliah terus ke telefon pintar anda," kata hantaran tersebut.

Reaksi pengguna Internet pula memang dijangkakan. Mempunyai ramai pengikut kenyataan Zulkifli disambut baik dan dianggap beliau mengambil langkah tepat kerana memanfaatkan kemudahan teknologi semasa.

“Mantap ada podcast (audio siar). Baru update (terkehadapan) cara dakwah…” kata salah seorang pengikut beliau.

Di Twitter Zulkifli juga, pengikut beliau tidak ketinggalan memuji langkah terkehadapan Zulkifli.

 “Inilah caranya bergerak seiring dengan trend. Bukan haramkan apa-apa yang kamu tak setuju dengannya," kata seorang pengguna Twitter.

“Dasyat. You'll never Spotify alone,” kongsi seorang lagi penciap secara bergurau dengan mengambil slogan kelab bola sepak Liverpool.

 

Untuk rekod mufti Wilayah Persekutuan itu memang peminat dan penyokong The Reds.

Namun, ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk terus bertanyakan soalan hukum kepadanya.

“Tuan. Agak-agak, apa hukum ya kepada mereka yang menggunakan Spotify crack/tiruan/pirate untuk mendengar ceramah agama?” soal seorang penciap.

Menurut tinjauan Malaysiakini, setakat malam ini terdapat tujuh audio kuliah yang tersedia dalam laman yang bernama “Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri”, yang kesemuanya dimuat naik hari ini.

Kuliah yang paling pendek berdurasi 17 minit sementara yang paling panjang pula berdurasi 1 jam 1 minit.