Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Coretan pada malam k’jaan PH hampir kalah di Parlimen

KATA MP l Kejadian ini berlaku pada malam Selasa 26 November lalu di dalam Dewan Rakyat jam kira-kira 9.30 malam.

Ketika itu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Hannah Yeoh (PH-Segambut) baru sahaja menggulung anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM2,259,671,400 dan RM213,703,100 untuk perbelanjaan pembangunan kementerian KPWKM di peringkat jawatankuasa.

Dengan tidak semena-mena seperti dirancang ahi-ahli parlimen Barisan Nasional datang mencurah-curah masuk ke dalam Dewan Rakyat sebaik sahaja sebelum Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon memanggil pengundian untuk meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan kementerian tersebut.

Hannah Yeoh, Timbalan Menteri

Saya yang berada di dalam Dewan mula cemas. Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) yang duduk di sebelah kiri saya juga cemas. Begitu juga Awang Husaini Sahar (PH- Putatan) di sebelah kanan saya kelihatan cemas.

Kami berpandangan sesama sendiri. Saya lihat Wong Hon Wa (PH-Bukit Bendera) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang duduk sebaris dengan kami mulai gelisah. Kami tak senang duduk.

Saya berdiri cuba mengira berapa jumlah ahli parlimen PH yang ada, berapa BN dan berapa PAS. PAS ada tiga orang ahli parlimennya ketika itu.

Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) angun dan minta undian dijalankan secara belah bagi. Hampir semua MP BN bangun untuk menunjukkan mereka ada lebih daripada 15 orang untuk menuntut pengundian secara belah bagi.

Saya mula gementar. Saya rasa kerajaan PH akan kalah malam itu. Dalam saat yang genting itu Speaker Mohamad Ariff Md Yusof masuk. Beliau segera menggantikan Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon (PH-Batu Pahat) untuk membolehkan ahli parlimen PKR itu mengundi.

Saya kasihan tengok Mohd Rashid, dengan berjubah dan bersongkok dia segera mengambil tempatnya sebagai ahli parlimen untuk selamatkan kerajaan PH daripada tewas pengundian pada malam yang mencemaskan itu.

Tetapi akhirnya niat jahat, mala fide 25 orang ahli parlimen BN (23 Umno, 1 MCA dan 1MIC) kalah juga.

Saya mulanya mengharap dalam hati tiga orang wakil rakyat PAS yang ada di dalam Dewan Rakyat yang sering bercakap nilai-nilai murni - membantu orang miskin, orang kurang upaya OKU, golongan asnaf, warga tua - akan menyokong kerajaan PH pada malam itu untuk meluluskan anggaran belanjawan kementerian yang menjaga kebajikan orang miskin, kanak-kanak, orang tua, OKU, wanita ibu tunggal yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah. Tetapi ternyata tidak.

Saya amat kecewa. Tiga ahli parlimen PAS itu mengundi menentang belanjawan untuk menolong orang miskin, orang daif, wanita, kanak-kanak.

Jika kita bercakap soal dosa dan pahala, adakah tindakan ahli-ahli parlimen PAS yang bersubahat dengan Umno, MCA dan MIC untuk menggagalkan belanjawan tersebut merupakan satu jihad yang mendapat pahala?

Saya lihat persekongkolan Umno, PAS, MCA dan MIC pada malam 26 November itu yang menyerang secara ambush untuk menggagalkan anggaran belanjawan kerajaan PH untuk kementerian yang menjaga kebajikan masyarakat, kebajikan kanak-kanak, wanita, OKU dan warga emas adalah tidak beretika, politik yang bankrap dan tidak bermoral.

Kalau hendak jatuhkan kerajaan PH bukan dengan cara serangan hendap yang memalukan itu. Tunggulah pada PRU ke-15 nanti.

Apa jadi kalau Rang Undang-Undang Perbekalan tahun 2020 untuk KPWKM itu tidak lulus? Dari mana kerajaan yang ada sekarang hendak cari RM2,473,374,500 untuk membantu rakyat yang amat memerlukan.

Ini yang gagal difikirkan baik-baik oleh 25 ahli parlimen BN dan sekutunya tiga wakil rakyat PAS. Bagi saya dua parti politik ini yang bergabung atas nama Muafakat Nasional adalah tidak layak menggunakan istilah itu.

Mereka adalah seperti berikut:

1) Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang - PAS)

2) Wan Hassan Mohd Rami (Dungun - PAS)

3) Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik - PAS)

4) Wee Ka Siong (Ayer Hitam - MCA)

5) M Saravanan (Tapah - MIC)

6) Mahdzir Khalid (Padang Terap - Umno)

7) Annuar Musa (Ketereh - Umno)

8) Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas - Umno)

9) Ahmad Jazlan Yaakub (Machang - Umno)

10) Ahmad Hamzah (Jasin - Umno)

11) Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi - Umno)

12) Nizar Zakaria (Parit - Umno)

13) Mohd Salim Sharif (Jempol - Umno)

14) Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar - Umno)

15) Ismail Sabri Yaakob (Bera - Umno)

16) Noh Omar (Tanjong Karang - Umno)

17) Noraini Ahmad (Parit Sulong - Umno)

18) Shamsul Anuar Nasarah (Lengong - Umno)

19) Ismail Mohamed Said (Kuala Krau - Umno)

20) Ahmad Maslan (Pontian - Umno)

21) Abdul Rahman Mohamad (Lipis - Umno)

22) Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling - Umno)

23) Hasbullah Osman (Gerik - Umno)

24) Ahmad Nazlan Idris (Jerantut - Umno)

25) Jalaluddin Alias (Jelebu - Umno)

26) Adham Baba (Tenggara - Umno)

27) Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar - Umno)

28) Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands - Umno)

Perbuatan tidak bertanggungjawab mereka pada malam itu mendekati perbuatan anti-nasional.


HASSAN KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang dan anggota PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.