Sarapan percuma bermula di sekolah ramai anak B40
PARLIMEN | Program Sarapan Percuma (PSP) akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara tahun depan, dengan mengutamakan sekolah mempunyai bilangan murid dari keluarga B40 paling ramai terlebih dulu.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata keputusan itu dibuat selepas kementerian mendapati pihak yang terbabit sebagai pelaksana PSP masih belum bersedia sepenuhnya.
Katanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melakukan beberapa sesi libat urus dan melalui projek perintis yang dilakukan, didapati ada beberapa pihak - seperti sekolah, kantin dan persatuan ibu bapa dan guru (PBG) - yang belum bersedia.
"Oleh itu Majlis Tindakan Ekonomi mencadangkan supaya ia dilaksanakan secara bertahap.
"Fasa 1 melibatkan sekolah yang bilangan murid (dari keluarga) B40 yang tinggi," katanya ketika membahas Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa membabitkan KPM di Parlimen petang ini.
Pada 9 Okt lalu, di Dewan Rakyat Maszlee memaklumkan PSP dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah seluruh negara.
Maszlee berkata, program itu akan mengguna pakai dua mekanisme bagi menjayakannya.
"Mekanisme pertama ialah pengoperasian PSP selama 30 minit menggunakan kombinasi menu utama dalam bentuk makanan bermasak dan menu buah-buahan.
"Mekanisme kedua pula ialah pengoperasian PSP selama 10 minit menggunakan kombinasi menu minuman produk tenusu seperti minuman berkhasiat dan menu makanan ringkas berkonsepkan sedia dimakan seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih dan telur rebus," katanya ketika sesi soal jawab lisan.
Dalam pada itu, Maszlee berkata projek berskala besar itu memerlukan persedian pihak pelaksana bagi memastikan PSP berjalan lancar.
PSP, katanya, bukan sekadar menyediakan makanan, sebaliknya turut membabitkan pendidikan mengurus sisa makanan dalam kalangan murid.
"Persediaan pihak kantin, pihak sekolah dan PIBG amat diperlukan kerana kita tidak mahu ada pembaziran.
"Bukan saja makan, tetapi cara uruskan makanan, kita hendak latih juga murid-murid cara urus sisa makana," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai