Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MP Klang enggan mohon maaf pada Zakir Naik

Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago enggan memohon maaf kepada pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik, yang mengugut untuk menyaman anggota parlimen itu kerana didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah.

Dalam respon terhadap notis guaman berkenaan, peguam yang mewakili Charles berkata tiada sebab untuk anggota parlimen itu meminta maaf kepada Zakir kerana kenyataan tersebut tidak berunsur fitnah.

Pada 25 Nov lalu, pemimpin DAP itu dilapor berkata penahanan 12 individu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) yang dikaitkan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) adalah kerana kritikan mereka terhadap Zakir.

Peguam Zakir dalam notis guamannya mendakwa kenyataan itu didorong oleh niat jahat dan kebencian.

Kenyataan tersebut yang disebut dalam notis itu sebagai rekaan, dikatakan telah merosakkan reputasi Zakir dan menyebabkan beliau mengalami penghinaan dan cemuhan.

Surat dari Tetuan SN Fam & Co hari ini berkata kenyataan Charles dibuat secara adil untuk kepentingan awam dan tanpa "niat jahat".

"Bacalah kenyataan yang dibuat anak guam kami secara menyeluruh dan tidak secara terpilih. Anak guam kami sebagai ahli Parlimen mempersoalkan pihak berkuasa berhubung proses siasatan, kegagalan polis mengemukakan sebarang bukti dan justifikasi tangkapan di bawah Sosma.

"Anak guam kami menafikan sekeras-kerasnya bahawa dakwaan itu boleh difahami atau memberi maksud (fitnah)," kata surat berkenaan.

Selain itu ia menambah Charles berhak membela diri sekiranya disaman fitnah.

Bulan lalu, Zakir menyaman Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy kerana fitnah.

Pada Ogos lalu, penceramah yang dikehendaki pihak berkuasa India itu menghantar notis guaman kepada Charles, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, bekas duta Dennis Ignatius dan anggota parlimen DAP Satees Muniandy.