Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

MCA mahu buka keahlian kepada kaum lain

Jika PAS ada entiti sendiri buat penyokong bukan beragama Islam menerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), MCA juga mungkin akan membuka keahlian bersekutu kepada penyokong bukan berbangsa Cina.

Menurut Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, cadangan itu merupakan salah satu daripada tiga syor pindaan perlembagaan MCA, yang akan dibentangkan ketika perhimpunan agung tahunan parti itu yang ke-66 pada Ahad ini.

“Seperti PAS yang memiliki DHPP, MCA juga wajar memiliki penyokong daripada bangsa lain kerana pengundi kita terdiri daripada berbilang bangsa.

“Sebelum ini kita bekerjasama dengan parti komponen, sekarang kita masih bekerjasama tetapi untuk membolehkan penyokong kita ada platform maka kita membuka keahlian bersekutu,” katanya dalam sidang media di Wisma MCA, seperti dipetik BH Online.

Menurut Chong, pindaan itu bukanlah kerana MCA tidak yakin dengan sokongan pengundi Cina, tetapi ia bagi membolehkan masyarakat bukan Cina mempunyai platform untuk menyokong perjuangan parti itu dan menegakkan politik yang bukan hanya kepada sesuatu kaum sahaja.

Tambahan pula, Chong mendakwa setiap tahun parti itu menerima permohonan dari pelbagai kaum termasuk India, Kadazan di Sabah serta Siam di Perlis dan Kedah untuk menjadi anggotanya.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama cadangan itu dikemukakan Chong.

Pada tahun 2016, Chong yang ketika itu Ketua Pemuda MCA turut mencadangkan hal sama kepada perhimpunan agung parti itu yang ke-63.

Dalam PAS, DHPP bermula hanya sebagai kelab penyokong PAS, sebelum dinaik taraf sebagai “Dewan” pada 23 Mei 2010.

Mengulas lanjut Chong berkata tidak seperti ahli biasa, ahli bersekutu tidak mempunyai kuasa untuk bertanding jawatan dalam parti, namun tidak menolak mentah-mentah kemungkinan untuk mereka bertanding dalam pilihan raya.

Tambahnya juga, sekiranya keahlian semakin ramai, MCA mungkin mewujudkan jawatankuasa atau kelab dengan ketua ahli bersekutu tersebut akan dijemput menghadiri perhimpunan agung tahunan atau dialog dengan pemimpin tertinggi.

Di samping itu, MCA juga akan mengesyorkan pindaan perlembagaan parti bagi menurunkan had umur kemasukan ahli parti daripada 18 kepada 16 tahun, sejajar dengan pindaan membolehkan warga negara berusia 18 tahun menjadi pengundi secara automatik.

Turut dicadangkan ialah pindaan bagi membolehkan proses pemilihan parti hanya akan bermula enam bulan selepas berakhir Pilihan Raya Umum (PRU), bagi membolehkan parti memberi fokus memenangi PRU.