Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Hanya speaker boleh ambil tindakan MP enggan isytihar harta'

Sebarang tindakan terhadap anggota parlimen pembangkang yang enggan mengisytiharkan harta mereka selepas tarikh akhir 5 Disember hanya boleh dilakukan Speaker Dewan Rakyat, kata Ketua Pesuruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

"SPRM hanya 'penjaga' perisytiharan aset.

"Kami tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk mengambil sebarang tindakan (terhadap anggota parlimen yang enggan) jadi kita perlu tunggu dan lihat," kata Latheefa kepada pemberita selepas satu acara di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian mengulas laporan bahawa anggota parlimen pembangkang masih berdolak dalik untuk mematuhi tarikh akhir 5 Dis yang ditetapkan oleh parlimen bagi mengisytiharkan aset mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong membentangkan usul untuk menetapkan tarikh akhir yang baru itu semalam.

Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob kemudian berkata anggota parlimen pembangkang akan bertemu dan membincangkan perkara itu sebelum tarikh tersebut.

Pembangkang sebelum ini memilih secara en bloc untuk menentang pengisytiharan aset mereka dan mendakwa kerajaan tidak mempunyai asas undang-undang untuk memaksa mereka berbuat demikian.

Ditanya mengenai penegasan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof bahawa langkah itu akan diwajibkan kepada semua anggota parlimen, Latheefa berkata:

"Sepatutnya begitu dan jika tidak, terpulang kepada speaker untuk mengambil tindakan," katanya.

Beliau berkata tindakan juga boleh diambil terhadap anggota parlimen yang kemudiannya didapati membuat pengisytiharan palsu.

Pengisytiharan palsu tertakluk kepada Seksyen 199 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 193 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Setakat ini, sebahagian besar anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) telah mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM.

Bagaimanapun anggota parlimen Umno dan PAS masih enggan berbuat demikian.

Terdahulu semasa syarahan beliau, Latheefa menjawab beberapa isu melibatkan integriti.

"Integriti adalah tentang kamu bersuara apabila kamu melihat sesuatu yang tidak kena sedang berlaku" katanya yang menambah perjuangan memerangi rasuah melibatkan pembaharuan pemikiran, budaya dan sistem secara keseluruhan.