Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Beberapa kumpulan gesa RUU IPCMC ditangguh

Beberapa kumpulan menggesa kerajaan menangguhkan rancangannya untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) minggu depan.

Presiden Pegawai Kanan Polis (PPKP), Sulaiman Yahaya berkata rang undang-undang itu perlu ditangguhkan sementara menunggu kajian lebih terperinci untuk memastikan tiada pertikaian timbul apabila ia dilaksanakan.

Beliau berkata persatuan itu hadir pada pendengaran jawatankuasa khas parlimen yang bertanggungjawab terhadap perubahan kepada rang undang-undang berkenaan, tetapi pandangannya tidak diambil kira dan tiada perubahan dibuat.

"Perkara-perkara yang berkaitan dengan perlembagaan perlu diteliti semula, supaya benda ini dimuktamadkan, agar ia menjadi satu rang undang-undang yang baik yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

"Jangan tergesa-gesa. Kamu boleh ambil masa [...] Kami berkhidmat kepada orang ramai, tapi kini semua orang kami patah semangat kerana mereka takut IPCMC ini.

"Rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen ini tidak benar-benar memberi keadilan kepada pihak polis," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat polis di Bukit Aman hari ini.

Dalam perkembangan lain, Amnesty International Malaysia berkata pembentangan rang undang-undang itu tidak boleh dibuat tergesa-gesa.

Ini kerana terdapat perubahan penting yang perlu dibuat dan peluang perlu digunakan untuk meneliti rang undang-undang itu sebelum diluluskan.

"Tanpa semakan yang banyak kepada rang undang-undang ini, IPCMC akan gagal untuk memastikan siasatan yang betul terhadap salah laku polis, dan mengambil tindakan ke atas pegawainya.

"Malangnya, pengumuman menteri bahawa rang undang-undang ini di bawah embargo sehingga undi Parlimen minggu depan tidak membenarkan penelitian yang betul untuk memastikan perubahan yang perlu akan dimasukkan.

"Rang undang-undang ini, sehingga kini, jauh dari apa yang dkehendaki masyarakat sivil dan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk Pembaharuan Polis pada 2004," kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Shamini Darshni dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata, Rang Undang-undang IPCMC itu dibentangkan kepada semua anggota parlimen pagi ini.

Beliau berkata jawatankuasa parlimen meneliti rang undang-undang itu dengan membuat 24 cadangan yang akan dipertimbangkan oleh kabinet, dan ia dijadual dibentangkan di parlimen minggu depan.

Laporan tambahan oleh Alyaa Alhadjri.