Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bendera 5 bucu: Polis akan panggil syarikat terlibat

Polis telah mengenal pasti sebuah syarikat tempatan yang didapati mengeluarkan bendera Malaysia yang salah ketika majlis perasmian perlawanan bola keranjang pada malam Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata polis akan memanggil kontraktor yang dilantik oleh Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) untuk merakam kenyataan mereka.

"Kami akan panggil mereka tak lama lagi. Kami mahu tanya kepada mereka bagaimana perkara ini boleh dipaparkan dengan cara seperti itu," kata Huzir dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Bendera dengan bintang lima bucu dan 11 jalur merah dan puti itu dipaparkan pada skrin TV stadium ketika lagu kebangsaan dimainkan bersama-sama dengan logo Westport Malaysia semasa majlis perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28.

Jalur Gemilang mempunyai 14 bucu bintang dan 14 jalur merah dan putih yang mewakili 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

Huzir berkata sembilan laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana penghinaan yang disengajakan dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana berkongsi kandungan jelik dan mengancam.

Selain daripada syarikat tempatan terbabit, Huzir berkata polis juga telah mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang didapati telah memuat naik gambar bintang bucu lima itu.

Setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada empat pihak termasuk Presiden Maba, Luo Choon Hann.

"Kami yakin boleh melengkapkan siasatan tidak lama lagi dan merujuk kes itu kepada Jabatan Peguam Negara," katanya menambah siasatan juga akan dibuat terhadap laporan membabitkan imej bendera salah yang lain.

Maba semalam berkata mereka telah membatalkan khidmat kontraktor terbabit  dan memohon maaf atas kesilapan berkenaan.

Kejadian itu mencetuskan bantahan dan mendorong gesaan agar tindakan tegas diambil, termasuk daripada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya Steven Sim.