Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas timb ketua AMK: Tindakan Akmal Nasir kebudak-budakan

Angkatan Muda PKR (AMK) diminta berhenti memburukkan lagi konflik antara presiden parti Anwar Ibrahim dan timbalannya Azmin Ali, dengan melanggar tradisi perasmian kongres sayap pemuda dan wanita yang biasanya dilakukan oleh timbalan presiden.

Bekas timbalan ketua AMK Dr Afif Bahardin berkata sayap itu sepatutnya bertindak sebagai perantara untuk memperbaiki kesatuan kesatuan di kalangan pimpinan parti yang kini berdepan pergeseran.

Tetapi kata Afif lagi, sayap itu menjadi "batu api" antara Anwar dan Azmin dengan keputusannya untuk mengundang pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk merasmikan kongres tahunan AMK dan Wanita PKR.

"Kenapa jadi batu api, tambah minyak pada perkara yang sedang berlaku...AMK sepatutnya jadi medan untuk perpaduan parti," katanya ketika sidang media selepas pertemuan dengan sejumlah pemimpin AMK Pulau Pinang di ibu pejabat PKR negeri itu di Seberang Jaya, semalam.

Katanya, ketua AMK Akmal Nasir tidak boleh menjustifikasikan keputusan itu dengan ketidakhadiran Azmin dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

"Ada isu yang lebih besar, tidak semudah tak hadir mesyuarat," katanya yang juga exco kerajaan Pulau Pinang.

Afif membangkitkan keadaan ketika beliau menjadi timbalan ketua AMK pada 2014 hingga 2018, ketika sayap itu menurutnya tidak membuat mesyuarat selama lebih setahun.

"Adakah saya tak beri (ketua AMK ketika itu) Nik Nazmi Nik Ahmad berucap dalam kongres tahunan? Kami tetapi beri sebab yang lebih penting ialah imej dan perpaduan parti.

"Mana prinsip kamu pada masa itu?...Ia melangkaui peraturan AMK tetapi kami tetap cuba menggunakan masa untuk menyelesaikan masalah, dan mengataasi apa saja cabaran yang ada.

"Kami tetap sediakan apa yang perlu untuk menghadpi pilihan raya, termasuk baju biru merah yang cukup ikonik pada 9 Mei 2018," katanya.

'Akmal kebudak-budakan'

Menyifatkan tindakan Akmal sebagai "kebudak-budakan", Afif berkata keadaan itu tidak akan berlaku jika beliau yang memimpin AMK.

"Malangnya dia adalah ketua AMK. Saya hormati keputusan pemilihan parti walaupun saya hanya ditewaskan dengan 42 undi," katanya lagi.

Beliau berkata hanya menyuarakan pandangannya sebagai anggota PKR kerana tiada apa-apa jawatan dalam Majlis Pimpinan Negeri dan AMK.

"Saya hanya ketua cabang Permatang Pauh...Saya menyampaikan pandangan anggota akar umbi yang merasakan perpaduan (parti) harus dipertahankan," katanya.

Ditanya mengapa pertemuan dibuat semalam sedangkan Ketua AMK Pulau Pinang Fahmi Zainol menafikan sayap itu ada membuat sebarang mesyuarat, Afif berkata "ia bukan mesyuarat tetapi pertemuan tak rasmi antara rakan-rakan".

'Afif tipu diri sendiri?'

Dalam respons segeranya, Fahmi menafikan dakwaan Afif bahawa majoriti pemimpin PKR Pulau Pinang, termasuk 12 ketua cabang, menghadiri pertemuan itu.

"Bagaimana dia boleh kata majoriti ketua cabang sokong Azmin untuk rasmikan kongres? Adakah Afif menipu diri sendiri?"

Katanya, ketua cabang yang hadir ialah dari cabang Bukit Mertajam, Tanjong, Jelutong, Bagan dan Kepala Batas.

[Baca berita asal]