Pertemuan sulit: Sama ada Azmin atau Dr M bohong, kata Annuar
Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata terdapat dua kemungkinan berhubung perjumpaan antara sekumpulan anggota parlimen BN dan Azmin Ali di kediaman menteri hal ehwal ekonomi itu baru-baru ini.
Kata Annuar, sama ada Azmin atau Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, salah seorangnya mungkin berbohong susulan pengakuan anggota parlimen Umno terbabit.
"Ada dua kemungkinan, pertama salah seorang berkata tidak benar. Mungkin Azmin beri laporan yang tidak benar, ataupun beliau beri laporan yang benar tapi Dr Mahathir berkata tidak benar," kata Annuar apabila ditanya mengenai kenyataan bercanggah tersebut pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Pada 22 Nov lalu, Mahathir berkata Azmin memberitahunya bahawa anggota parlimen berkenaan telah 'hilang parti' dan mempertimbangkan untuk menyertai parti lain ketika pertemuan itu berlangsung.
Namun pada hari sama, tujuh anggota parlimen BN tampil menafikan dakwaan itu sebelum disusuli lapan yang lain sehari selepas itu.
'Perlu difahami secara tersirat'
Menurut Annuar, berdasarkan pengalamannya mengenali Mahathir, apa yang disampaikan pemimpin berusia 94 tahun itu tidak boleh ditafsirkan secara terang-terangan kerana mempunyai maksud tersirat.
"Semua Ahli Parlimen berkenaan telah keluarkan kenyataan media secara bertulis menafikan kenyataan yang disebut oleh perdana menteri itu.
"Bagaimanapun kita tahu sesama sendiri (Dengan Mahathir) dengan baik, saya selalu baca kenyataan Tun bukan daripada maksud sebenar (literal) tapi secara tersirat (read between the line) dengan apa yang dia kata.
"Kita lama bersama beliau, jadi kita tahu siapa dia," katanya.
Annuar berkata mustahil anggota parlimen BN berhasrat keluar parti lebih-lebih lagi selepas kekalahan teruk PH dengan majoriti 15,000 pada PRK Tanjung Piai 16 Nov lalu.
"Agak bodoh kalau lompat ke parti itu dengan tidak mendapat apa. Lebih baik bersama dengan pihak yang menang," katanya.
Tak halang MP Umno jumpa pemimpin kerajaan
Menurut Annuar lagi, parti itu tidak menghalang mana-mana anggota parlimen Umno berjumpa dengan pemimpin kerajaan termasuk Azmin selagi tidak melibatkan urusan parti.
Ini kerana katanya, sebarang urusan rasmi berkaitan parti hanya akan dikendalikan oleh presiden parti.
"Tak semestinya tak boleh berurusan langsung dengan mereka yang memegang kuasa. Kadang-kadang mereka jumpa sebagai kawan atau untuk sampaikan masalah rakyat kepada yang memerintah. Tapi bukan soal parti sebab sebarang hal parti dikendalikan oleh presiden saja.
"Tak ada masalah baik (jumpa) Azmin, Tun M. Banyak pemimpin kita jumpa Anwar, Azmin. Umno terbuka tapi untuk elak salah tangapan beritahu kami dahulu," katanya.
Pada 18 November, lebih 20 anggota parlimen BN dilihat berkumpul di kediaman rasmi Azmin di Putrajaya.
Beberapa anggota parlimen PKR juga hadir, termasuklah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Menteri Pengangkutan Kamaruddin Jaffar.
Perjumpaan antara Azmin dan pemimpin BN ini berlangsung dua hari selepas kekalahan besar PH dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai