Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tiada inkues lepas 33 bulan, keluarga tuntut jawapan kematian Siva

Siva Rajaraman, 30 sepatutnya dibebaskan dari penjara Tapah pada 20 Mac 2017 selepas lapan bulan berada dalam tahanan.

Bagaimanapun pada hari yang sama, keluarganya dimaklumkan bahawa lelaki itu meninggal dunia dalam tahanan dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Tapah.

Keluarga itu juga mendapati kesemua lima jari pada kaki kiri Siva telah dipotong dan terdapat kecederaan lain pada kaki kirinya.

Kini setelah hampir 33 bulan, ibu Siva, Muniammah Raman, 59 berkata dia masih tidak tahu mengenai punca kematian anaknya kerana tiada inkues ditubuhkan walaupun telah diperintahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh.

Muniammah, diiringi tiga daripada lapan anaknya, berada di Kuala Lumpur hari ini untuk bertemu peguam, M Visvanathan, yang mengadakan sidang akhbar bagi menuntut jawapan.

Visvanathan, yang juga pengerusi NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Jagaan (Edict) berkata, Muniammah pertama kali memohon kepada Mahkamah Tinggi di Ipoh pada 3 September 2018, untuk memerintahkan pendakwa raya menyerahkan bukti berkaitan kematian Siva dan memerintahkan inkues ditubuhkan berhubung kematian itu.

"Pada 18 Okt 2018, Hakim Hashim Hamzah mengarahkan pendakwa raya menyediakan pemohon dengan bukti-bukti yang berkaitan dengan kematian Siva.

"Ini termasuk laporan bedah siasat, laporan analisis, laporan polis, kenyataan saksi, gambar, lakaran pelan, rakaman CCTV," kata Visvanathan yang mewakili Muniammah dalam permohonannya.

Beliau berkata walaupun perintah Hakim Hashim agar dokumen perlu disediakan dalam masa yang munasabah, hanya pada 30 Mei tahun ini seorang timbalan pendakwa raya dalam kes itu menulis kepada Polis Tapah dan meminta laporan kematian mengejut Siva.

Selepas itu, Visvanathan berkata Pengarah Pendakwaan Perak, Azhar Mokhtar pada 28 Jun dan 31 Julai memaklumkan pemohon bahawa mereka masih menunggu laporan bedah siasat Siva dan juga laporan kematian mengejut selesai.

"Kanun Tatacara Jenayah, dalam seksyen 333 (2), menyatakan bahawa inkues perlu diteruskan 'secepat mungkin'.

"Namun, 33 bulan kemudian, tiada inkues diadakan," katanya.

Visvanathan berkata Edict memberi tempoh selama 30 hari kepada beberapa pihak termasuk Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Undang-Undang VK Liew dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, agar mmeberikan respons kepada soalan yang dibangkitkan dalam kes ini.