Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Garis panduan pelancongan: Tak timbul tanggapan T'ganu negeri Taliban - Exco

DUN TERENGGANU |  Garis panduan berkaitan hiburan, kebudayaan dan pelancongan yang akan diwartakan pada tahun 2020 tidak akan memberi imej negatif kepada Terengganu kononnya seperti ‘negeri Taliban’.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahari Mamat berkata sebaliknya garis panduan itu akan melonjakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu kerana menonjolkan keunikan hiburan dan budaya yang patuh syariah.

"Takkan timbul persepsi negatif seperti itu apabila Terengganu melaksanakan garis panduan berkenaan...pelancong datang ke Terengganu ini bukannya nak buat maksiat sebab tempat asal mereka lebih bebas nak buat apa sahaja maksiat.

"Pelancong datang ke Terengganu sebab nak tengok persekitaran (alam semula jadi), budaya negeri kita...apa yang istimewa ada di negeri kita yang duduk dalam keadaan memenuhi tuntutan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) yang ingin tahu apakah impak garis panduan itu kepada sektor pelancongan dan pemain industri dalam sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

Menjawab soalan tambahan Rozi Mamat (BN-Telemong) mengenai pandangan kerajaan negeri berhubung aktiviti senamrobik secara terbuka pula, Satiful berkata Terengganu tidak mengekang aktiviti tersebut namun ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan seperti kedudukan lelaki dan wanita ketika ia berlangsung.

"Sebab itu kita galakkan agar lebih ramai jurulatih lelaki mengajar senam robik ini...untuk wanita pula mereka boleh menjalankan aktiviti itu di kawasan tertutup," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata Terengganu berjaya merekod jualan sebanyak RM1.064 juta melalui Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) 2019.

"Dalam Pameran Matta yang pertama pada Mac, hasil jualan ialah RM708,501 manakala dalam penyertaan kedua pada September, hasil jualan ialah RM355,189.

"Selain itu, banyak promosi dibuat termasuk secara bersepadu melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu dan Johor...kita optimis lebih ramai pelancong akan datang ke Terengganu sempena Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya.

- Bernama