Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Peladang muda harap kontrak diberi kepada Nafas

Kerajaan diharap dapat memberikan tender pertanian padi secara rundingan terus kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi melindungi kepentingan lebih 900,000 ahlinya.

Perkara itu disuarakan Ahli Jemaah Pengarah Peladang Muda Kedah dan Perlis yang telah mengadakan mesyuarat berhubung isu itu malam tadi.

Wakil ahli jemaah pengarah itu, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad berkata sekiranya tender tersebut dibuat secara terbuka dan diperoleh oleh syarikat lain, ia dibimbangi memberi kesan kepada ahli Nafas yang juga peladang.

“Nafas ini adalah pemilik peladang-peladang dan ia membekalkan baja kepada peladang dan apabila Nafas diberikan kontrak itu ia akan memberi pulangan kepada peladang.

“Kita tidak mahu tender ini terlepas kepada orang lain, syarikat-syarikat korporat yang lain dan Nafas ini bukan syarikat individu tetapi dimiliki oleh peladang-peladang,” katanya kepada pemberita di Gurun dekat Sungai Petani.

Mohd Ridzwan Arshad berkata, tender itu juga dilihat penting bukan hanya kepada peladang yang telah bergantung kepada Nafas sejak sekian lama, tetapi juga kelangsungan lebih 1,000 pekerja pertubuhan itu.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dilaporkan mengakui menulis surat kepada perdana menteri mengesyorkan tender bernilai RM1.4 bilion diberi kepada Nafas.

Isu berkenaan sebelum itu dibangkitkan Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan Rakyat, Khamis lepas.

- Bernama