Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menanti transformasi Pos Malaysia di era digital

ULASAN | Baru-baru ini saya ada menulis tentang cabaran Pos Malaysia bagi menghadapi persaingan yang cukup mencabar dalam era digital.

Tulisan itu mengulas tentang perniagaan Pos Malaysia untuk terus kekal berdaya saing dalam dunia ledakan teknologi yang menyaksikan fungsi penghantaran surat semakin mengecil.

Tulisan saya itu mendapat respons apabila ada pihak menghantar maklumat mengenai kedudukan Pos Malaysia dan cabaranya berdasarkan fakta semasa.

Susulan itu, saya buat penyelidikan ringkas bagi menyambung tulisan berkaitan Pos Malaysia.

Tajuk ini mungkin membosankan berbanding "ulasan cerita politik", namun ia memperkatakan tentang untung nasib Pos Malaysia yang di belakangnya ada ribuan pekerja.

Persoalan utama untuk Pos Malaysia meneruskan kelangsungannya ialah sama ada ia mampu mempertahankan model perniagaannya dalam era digital yang penuh cabaran dan persaingan ini.

Apatah lagi Pos Malaysia telah mengalami kerugian pertama pada tahun kewangan lalu, sebanyak RM165.75 juta dan dijangka akan terus mengalamai kerugian dalam dua atau tiga tahun mendatang.

Kerugian dialami Pos Malaysia ini adalah disebabkan jumlah mel yang menurun pada setiap tahun dan menyaksikan peningkatan bagi kos operasi.

Meskipun kurier ataupun Pos Laju menjadi salah satu segmen perniagaan yang dilihat mampu menyumbang kepada pendapatan Pos Malaysia, namun, ia berdepan dengan saingan cukup sengit.

Kadar baru lebih tinggi

Era digital yang menyaksikan banyak pembelian dibuat secara dalam talian sekali gus meningkatkan jumlah barangan kurier, namun ia bukan jaminan kepada kelangsungan perniagaan Pos Malaysia.

Ini kerana Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) mengeluarkan lesen kurier kepada lebih 100 syarikat antarabangsa dan tempatan untuk beroperasi di dalam negara.

Menurut laporan, perkhidmatan penghantaran pos seluruh dunia juga bakal dikenakan kadar baru yang lebih tinggi bermula Jan 2020. Kadar itu ditetapkan oleh Universal Postal Union (UPU) pada Sept lalu selepas Amerika Syarikat mengugut untuk meninggalkan UPU.

Kesan dominonya amat tinggi terhadap sistem penghantaran global dan domestik yang menyaksikan kos penghantaran di seluruh dunia akan meningkat secara anggaran 30 peratus pada Jan 2020.

Pastinya, Pos Malaysia tidak terkecuali dari terkesan dengan perkembangan ini.

Pos Malaysia kini mempunyai 22,000 kakitangan dengan jumlah rangkaian lebih 3,500 lokasi dan memiliki 6,600 buah motosikal, lebih 300 van, lebih 350 lori serta lebih 2,000 trailer dan lain-lain.

Bagaimanapun keuntungan yang diperoleh daripada segmen Pos Laju tidak mampu menampung kerugian segmen pos meskipun dibantu oleh perkembangan e-Dagang.

Kos perkhidmatan pos meningkat kerana tarif setem dan khidmat pos tidak naik sejak 2010, sedangkan jumlah alamat meningkat 14 peratus setiap tahun dengan kini jumlah alamat sebanyak 9.2 juta.

Jika diteliti, Pos Malaysia sebenarnya mempunyai kekuatan yang tersendiri dengan rangkaian yang meluas diseluruh negara serta jaringannya dengan organisasi pos negara-negara luar melalui UPU.

Apatah lagi, memiliki aset kenderaan yang paling banyak berbanding dengan syarikat kurier dan logistik lain dan turut memiliki pusat pemproses mel dan parcel yang canggih dan moden serta jumlah kakitangan yang tinggi dan amat berdedikasi

Sokongan kerajaan

Pos Malaysia adalah jenama yang dipercayai, ia perlu melakukan pelan transformasi bagi memastikan model perniagaannya terus kekal relevan dan berdaya tahan.

Transformasi atau reformasi Pos Malaysia perlulah bersandarkan kepada perkembangan teknologi ketika ini bagi memastikan ia tidak ketinggalan.

Banyak cara boleh dilakukan bagi pembaharuan Pos Malaysia dengan mengaplikasi era digital yang semakin terbuka, sistematik dan cepat.

Bagaimanapun, untuk menjayakan transformasi kepada Pos Malaysia, ia memerlukan sokonga daripada kerajaan.

Kerajaan barangkali sudah boleh menilai kembali untuk meningkatkan kadar tarif setem dengan segera bagi membolehkan Pos Malaysia berdaya saing dan membangun ke era digital.

Peluang harus diberikan kerajaan kepada Pos Malaysia untuk dapat menaikkan tarif secara berkala bagi membantu Pos Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa.

Tarif domestik yang rendah menyebabkan Pos Malaysia tidak dapat menampung kos khidmat pos yang dikenakan oleh negara-negara asing terutamanya negara maju.

Banyak negara telah melakukan kenaikan tarif secara berkala seperti Royal Mail, Australia, New Zeland dan lain-lain.

Transformasi segera terhadap Pos Malaysia perlu dilakukan sebelum ia ditelan era digital.