Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PH akan betulkan kesilapan, kata PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata PH telah mengenal pasti masalah yang mereka perlu selesaikan susulan kekalahan besar di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Bagaimanapun, Mahathir enggan menyatakan masalah yang dimaksudkannya dan sekadar berkata menteri dan parti komponen PH tahu apa yang perlu dilakukan.

"Kami masing-masing tahu mengenai kesilapan kita, dan kita akan mengambil tindakan untuk mengatasinya," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

"Kami akan mengenal pasti apa yang orang tidak senang dan jika mereka menunjukkan bahawa kami tidak melakukan apa-apa, kami akan cuba membetulkannya, jika mereka menunjukkan kami perlu merombak, kami akan mempertimbangkannya," katanya.

Pada PRK 16 Nov lalu, calon BN, Wee Jeck Seng memperoleh 25,466 undi, mengalahkan calon PH Karmaine Sardini dengan majoriti 15,086.

Kekalahan itu antara lain dikaitkan dengan undi protes terhadap kerajaan.

Mahathir berkata golongan yang berpuas hati dengan kerajaan berdiam diri sementara golongan tidak berpuas hati lantang bersuara.

Oleh itu, katanya, kerajaan akan meneliti pandangan yang mereka perlu dengar.

Sementara itu, pengerusi PH itu juga berkata kerajaan adil terhadap semua orang.

"Terdapat tuduhan bahawa PH dikuasai sepenuhnya oleh DAP, ini yang dikatakan oleh orang Melayu.

"Sementara kaum Cina percaya DAP diperkudakan oleh Mahathir dari Bersatu, jadi ada keseimbangan, kedua-dua pihak tidak puas hati," katanya.