Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Janganlah zalimi peladang

Sejak tahun penubuhan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) pada 1986, kerajaan memberi tender secara rundingan terus pembekalan baja subsidi oleh Nafas.

Melalui tender tersebut, Nafas mampu mendirikan kilang baja, kilang plastik dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Nafas memayungi 279 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan 14 buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di seluruh negara dan mempunyai keahlian hampir sejuta. Hampir 100 peratus ahlinya adalah Melayu dan Bumiputera.

Langkah kerajaan memberi kemudahan ini adalah untuk membantu Nafas sebagai entiti Melayu membina kekuatan ekonomi. Namun hakikatnya hingga kini, Nafas terus meminta ehsan dari kerajaan untuk mendapat projek melalui jalan mudah, rundingan terus.

Kegagalan Nafas untuk keluar dari hidup tanpa tongkat subsidi selama dua puluh dua tahun adalah lambang kegagalan orang Melayu yang berkuasa mengurus ekonomi bangsa. Masih makan bersuap. Ini cabaran besar kepimpinan yang ada pada hari ini.

Memotong segala kemudahan yang pernah diperolehi oleh Nafas secara mendadak adalah langkah membunuh Nafas. Memenuhi keperluan manifesto semata-mata tidak perlu hingga membunuh kemanusiaan itu. Perlu ada kebijaksanaan dalam memenuhi sesuatu yang idealis.

Di bawah PH, reformasi peladang perlu dilakukan. Perniagaan Nafas seharusnya memberi suntikan lebih segar kepada jutaan peladang yang menjadi ahli PPK ataupun tidak.

Dalam tempoh 22 tahun, Nafas sepatutnya sudah menjadi sebuah konglomerat pertanian yang mempunyai daya saing di peringkat antarabangsa.

Yang ada, hanya rombongan ke luar negara atas nama ‘lawatan sambil belajar’. Sayang.

Ahli politik busuk hati

Bukan calang-calang Melayu yang menerajui Nafas suatu ketika dulu. Bergraduan dari universiti ternama. Namapun sudah bergelar segala macam kenamaan. Pidato dan wirid hariannya adalah Melayu. Berbaju Melayu lengkap berkain songket, bersongkok hitam tidak pernah lekang di setiap Jumaat.

Jika berbicara, mengalahkan penyair pujangga. Berlakon depan kamera atau di khalayak umum, mengalahkan bintang drama dan filem. Ahli politik plastik ini wujud dalam apa jua organisasi politik. Hanya rakyat yang mengerti tabiat politik akan mampu membezakan antara kaca dengan permata.

Di bawah pemerintahan PH, lembaga pengarah Nafas dianggotai enam orang dari PH dan lima orang dari BN. Kesemua adalah ‘orang politik’. Tuduhan bahawa Nafas dikuasai sepenuhnya oleh PH adalah palsu. Serangan itu tersalah sasar.

Menteri-menteri dalam PH yang memegang jabatan setahun setengah ini diserang pelbagai sudut. Tahanlah, apa jua yang datang. Sudah jadi menteri, begitulah cabaran yang terpaksa dihadapi.

Serangan tumpul orang yang pernah menjawat jawatan menteri seperti Wee Ka Siong, Noh Omar serta ahli politik busuk hati hanya membuang waktu.

Melayan kerenah para peladang lebih mudah dari mengurus perangai ahli politik yang busuk. Peladang jiwanya seperti pohon yang rendang. Tabur baja secukupnya, bila sampai musim berbunga atau berbuah, petiklah hasilnya.

Menabur kata, jasa atau apa jua benda kepada ahli politik busuk, tidak memberi apa-apa makna kepada mereka. Biarlah ia menyalak. Biarlah ia menyanyi. Melolong pun tidak mengapa. Ini negara demokrasi.

Sebagai ahli dalam masyarakat, tindakan serangan kepada kerajaan, menteri atau parti kerajaan dalam apa jua isu, perlu dilihat secara seimbang.

Pada satu sudut, ini merupakan amaran kepada pemimpin kerajaan agar kekal pada landasan perjuangan untuk masyarakat dan negara. Amaran ini akan memperkukuhkan tekad kerajaan memperbaiki perjalanan Nafas selama ini.

Namun dari sudut lain, ini merupakan pembelajaran bermakna kepada pemimpin pembangkang yang dahulu pernah berkuasa berdekad-dekad lamanya. Di manakah nikmat masa yang diberikan? Apakah puluhan tahun, Nafas terus bernafas dengan subsidi?

Pembelajaran ini bukan semata-mata untuk pemimpin pembangkang tetapi adalah untuk kita semua. Buat mereka yang mahu berfikir. Betapa nikmat masa dan kuasa yang dipersia-siakan begitu sahaja sehingga masa dan kuasa itu terlepas dari tangan.

Tak boleh goyang kaki

Pemimpin PH wajib belajar daripada kesilapan sebahagian pimpinan BN semasa berkuasa dahulu. Jika tidak, nasib pimpinan PH akan lebih kurang sama dengan nasib malang BN.

Peladang terus miskin dan hidupnya bertarung jiwa dan tenaga. Kais pagi makan pagi, kais petang makan malam. Sedangkan kehidupan mereka diperniagakan. Kesengsaraan mereka dipertontonkan. Kelaparan mereka dijaja demi secalit undi.

Pemberian baja subsidi kepada petani ada waktunya perlu tetapi petani tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan subsidi. Petani perlu mencari ruang dan peluang lain untuk maju.

Begitulah juga dengan Nafas yang diberikan kemudahan memperolehi tender menyediakan baja subsidi kerajaan kepada peladang. Angka keuntungannya puluhan dan ratusan juta ringgit.

Keuntungan besar ini tidak boleh menjadikan Nafas goyang kaki menikmatinya. Nafas perlu bersedia masuk dalam industri secara lebih agresif. Perlu membina rantaian pasaran dan bekalan.

Prosedur pemberian tender dalam kerajaan mempunyai pelbagai kaedah. Apa jua kaedah atau pendekatan, ia seharusnya tidak boleh merugikan masyarakat dan kerajaan. Pendekatan tender terbuka sememangnya ada kebaikan. Namun kebaikan pendekatan semata-mata tidak menjamin kebaikan yang lebih menyeluruh.

Pendekatan rundingan terus adalah salah satu amalan kerajaan sejak berzaman. Pendekatan ini ada kelemahannya. Pendekatan ini adalah kaedah ‘affirmative action’ untuk membantu kumpulan atau pihak tertentu mencapai satu tahap yang mandiri. Ia mestilah ada had tertentu. Sama ada dari segi tempoh atau kuantiti.

‘Skandal’ yang dibangkitkan oleh pimpinan BN/PAS di parlimen baru-baru ini adalah lebih kepada satu tindakan politik. Kononnya pihak Kementerian Pertanian dan Asas Tani telah membatalkan tender yang dimenangi oleh sebuah syarikat melalui tender terbuka.

Suatu tindakan politik yang hanya memberi natijah politik. Tindakan ini tidak mampu mengangkat kerangka politik sempit kepada kerangka ekonomi nasional.

Membangun ekonomi nasional seperti yang terkandung dalam ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’ adalah usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang sosial dan ekonomi dalam masyarakat.

Jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin akan semakin meruncing jika ia terkait dengan kaum yang berlainan. Ini adalah masalah yang kita warisi sejak merdeka. Nafas selama ini bernafas atas nama Melayu.

Agihan yang tidak seimbang di setiap peringkat kumpulan pendapatan, kaum, wilayah dan rantaian bekalan masih wujud. Keadaan ini diburukkan dengan regim kerajaan lepas yang banyak ketirisan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Tugas Nafas dan juga kita semua adalah memperbaiki dan membawa rakyat dan negara lebih bahagia dan makmur. Konsep ‘kesaksamaan peluang’ (equability of opportunity) dan ‘kesaksamaan keberhasilan’ (equablitiy of outcome) perlu dijadikan indikator kemakmuran.

Presiden MCA tidak usahlah begitu cakna kononnya untuk mempertahankan integriti apabila hanya melibatkan syarikat bukan Melayu dan Bumiputera. Sama-sama kita bercermin diri.

Kepada pemimpin kerajaan, pegawai kerajaan, jangan kuasa yang berada ditangan, kalian berkecenderungan menjadi pemimpin yang tamak, hilang kompas perjuangan.

Bernafaslah sambil berfikir akan kata-kata ‘cakap tak serupa bikin’. Jangan dizalimi peladang, wahai Pak Menteri dan ahli politik busuk hati.